PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

Genap setahun SUV tujuh-tempat duduk Ford Everest memasuki pasaran Malaysia. Walau bagaimana pun, kelibatnya tidak begitu banyak kelihatan di jalan raya. Entahkan mengapa, mungkin orang ramai masih kurang menyedari kehadirannya di Malaysia, tidak seperti model pesaingnya termasuk Toyota Fortuner dan Mitsubishi Outlander.

Namun hakikatnya, Everest menawarkan kemudahan yang lebih kurang sama dengan model pesaingnya, bahkan juga sesuai untuk mereka yang mahukan pengangkutan terdiri daripada SUV bersaiz besar.

Berpeluang memandu uji Fortuner dan Outlander sebelum ini, jadi bagai tidak adil kami tidak mencuba Everest pula. Lantas Ford Malaysia memberikan peluang kepada kami untuk menguji Everest varian tertinggi iaitu Titanium selama beberapa hari.

Menggunakan enjin yang lebih padu dan berkuasa berbanding varian paling asas, Trend (enjin 2.2 liter, 158 hp/385 Nm) iaitu 3.2 liter empat-silinder Duratorq dengan output 197 hp pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm. Sama seperti varian Trend, ia juga dipadankan dengan kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan.

PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

Tidak dinafikan gabungan enjin yang boleh dianggap padu dengan kotak gear yang responsif ini mampu mengolah lonjakan kuasa tanpa keraguan. Walau pun SUV ini terasa agak berat, namun kerahan enjin tidak perlu sentiasa dipaksa, sebaliknya pantas memuntahkan hamburan kuasa seperti mana yang diingini.

Memacu Everest dengan kekuatan enjin yang agak cemerlang ini memang memuaskan hati. Ia umpama mengikut kehendak dan keperluan pemanduan dalam satu masa yang sama. Jarang timbul gusar tatkala enjin lambat memuntahkan kuasa terutamanya tika ia amat diperlukan terutamanya ketika memotong kenderaan lain.

Walau bagaimana pun terasa sedikit kekurangan pada kotak gearnya yang dianggap lebih responsif sekiranya dalam gear tinggi. Jika kenderaan baru bergerak, penukaran gear dari rendah ke tinggi agak sedikit lambat. Justeru, momentum pacuan kenderaan agak sedikit terbatas, melainkan kerahan enjin dipaksa menerusi tekanan yang lebih pada pedal pendikit.

Sesuai dengan karakternya yang tahan lasak, stereng SUV ini terasa sedikit berat namun masih mudah untuk dikendalikan. Apatah lagi sekiranya melibatkan pacuan yang lebih agresif dan lasak, terutamanya memandu di laluan off-road. Malahan ketika jentera dipandu laju, terbit lebih keyakinan kerana stereng sebegini tidak mudah meliar, tetapi lebih mengikut arah kawalan.

PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

Kestabilannya dirasai apabila jentera dipacu merentasi jalan yang berselekoh, hasil padanan sistem suspensi double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang.

Walau bagaimanapun, olengan badannya sedikit terasa, maklumlah jentera ini bertubuh tinggi dan tegap. Ia lebih dirasai oleh penumpang yang duduk di barisan ketiga, andai tak tahan, boleh mencetuskan motion sickness. Walau bagaimana pun, ia tidaklah ‘seganas’ Toyota Fortuner, yang lebih membuai terutamanya jika dipandu laju dan di selekoh.

Berkongsi sifat dengan pikap Ranger, Everest varian Titanium ini didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Ia bertindak memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

Jadi, untuk melenjan Everest di laluan off-road pastinya tiada masalah. Malah penulis cuba merentasi ladang kelapa sawit dengan keadaan jalan yang berlecak, berlopak, tidak rata dan sebagainya. Everest masih mudah dikawal.

PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

Walau bertubuh tegap dan besar iaitu memiliki dimensi 4,893 mm bagi panjang, selebar 1,862 mm dan berketinggian 1,836 mm, namun sebenarnya tidaklah sukar untuk mengendalikan Everest termasuk ketika hendak parkir atau membuat pusingan-U.

Konklusi mengenai pengendalian Everest, ia sebuah SUV yang turut memiliki karakter umpama trak pikap. Lasak dan agresif, dua perkataan yang cukup sesuai untuk digambarkan buat SUV bersaiz besar dari Ford ini. Kalau dibandingkan dengan Mitsubishi Outlander 2.4 liter (165 hp/220 Nm) dan Isuzu MU-X, Everest Titanium yang dipadankan dengan enjin berkapasiti lebih besar dilihat lebih berkuasa. Namun pengendalian Outlander lebih selesa. Sebaliknya MU-X berenjin 2.5 liter (134 hp/320 Nm) dan Fortuner 2.7 liter (164 hp/245 Nm) memiliki karakter yang sedikit ‘lembut’, badan yang agak berat sekaligus membuatkan enjinnya terasa sedikit kurang berkuasa dan lebih terasa olengan badannya.

Bagaimana dengan imej luaran dan dalaman yang dipertaruhkan? Everest kelihatan lebih macho walau pun tidak begitu bergaya seperti Outlander.

Everest varian Titanium dipadankan dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto (unit projektor halogen pada Trend) dan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang, rel bumbung, roda bersaiz 20-inci yang dibaluti tayar 265/50 (Trend hanya 18-inci). Selain itu, ia turut dilengkapi dengan cermin sisi krom dan bilah pengilap cermin auto.

Menjengah bahagian kabinnya pula, kekemasannya agak mirip dengan Ranger 3.2 liter. Seperti varian Trend, ia turut berkongsi elemen yang sama termasuk pendingin hawa dua-zon dan kawalan kelajuan. Namun elemen tambahan buat Everest Titanium termasuklah corong pendingin hawa bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh lapan-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (lapan-cara larasan berkuasa untuk pemandu, dua-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga yang begitu mudah penggunaannya.

Mengenai aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingatan tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

Terdapat empat warna luaran yang ditawar, dengan dua warna biasa bagi kedua-dua varian iaitu Aluminium Metallic dan Black Mica Metallic dan tambahan bagi Titanium dengan Sunset Metallic.

Everest 3.2 Titanium AT AWD ditawarkan pada harga atas jalan RM258,888 (tanpa insurans) yang turut didatangkan dengan waranti pengeluaran selama tiga-tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Walau pun dianggap sebagai SUV tujuh-kapasiti tempat duduk yang kurang popular berbanding pesaing rapatnya, Outlander dan Fortuner, namun sebenarnya pemilikan Everest dilihat lebih berbaloi kerana kapasiti enjinnya yang besar boleh dianggap sebagai satu bonus buatnya. Namun disebabkan harga Everest jauh lebih tinggi berbanding Fortuner (RM184k), MUX (RM177k) dan Outlander (RM171k), mungkin antara penyebab mengapa Everest kelihatan begitu kurang di atas jalan raya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • AHMAD HANIS BIN AHMAD SHUSHAMI on Jun 14, 2017 at 9:22 pm

    Review yang menarik.. saya peminat Ford Everest

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Model ni ad RCTA x

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Tajam Menerobos on Aug 13, 2019 at 5:04 am

    Kalau dibandingkan ngan Fortuner, Everest tampak lebih macho, stabil dan kemas, namun yang menjauhkan peminat dari kereta Ford adalah harga, seolah olah Sime Darby hanya nak bersaing ngan BMW, Merz dan jenama continental lain yang lebih gah. Tak lama lagi tutup kedai, bye bye Malaysia, macam Suzuki.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required