Kesemua 19 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 bakal mengimplementasikan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya mulai 12 tengahari 14 Ogos depan. Ini menjadikannya sejumlah 177 plaza tol di 31 lebuhraya di seluruh negara yang tidak lagi menggunakan kaedah tunai sebagai transaksi.

Menurut Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Noor Azmi Ghazali, pelancaran sepenuhnya sistem ETC ini membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas 15 hingga 20% yang secara langsung turut membantu mengurangkan kemalangan dan pencemaran alam sekitar. Ini kerana transaksi secara Touch ‘n Go untuk sebuah kereta hanya mengambil masa enam saat, manakala SmartTAG tiga saat sedangkan sebuah lorong tunai ambil masa 15 saat, laporan Bernama

Katanya lagi, 19 plaza tol berkenaan iaitu sembilan terletak di LPT1 dan 10 di LPT2 kini telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sistem berkenaan pada 14 Ogos nanti.

“Semua plaza tol di LPT1 dan LPT2 akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch ‘n Go di lorong beroperasi 24 jam. Syarikat konsesi LPT1 iaitu Anih Berhad dan LPT2 (LPT2 Sdn Bhd) juga sudah pastikan kakitangan akan ditempatkan di lorong bagi membantu pengguna jika mereka menghadapi masalah ketika melaksanakan transaksi pembayaran tol elektronik.

“LPT1 turut menyediakan kaunter penjualan kad Touch ‘n Go dan khidmat tambah nilai di Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 15 jam setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Selain itu Anih Berhad turut menyediakan kiosk tambah nilai dan pembelian kad Touch ‘n Go menerusi konsep layan diri di R&R Temerloh dan Gambang