Graf jualan kenderaan Honda di pasaran Malaysia kian melonjak termasuk didorong dengan pelancaran model CR-V generasi ke-lima pada 12 Julai lalu. Malah dalam masa seminggu dilancarkan sahaja, Honda Malaysia telah menerima sebanyak 1,400 unit tempahan, yang pada mulanya mensasarkan sebanyak 700 unit untuk sebulan.
Varian yang paling popular ialah 1.5L Turbo Premium 2WD iaitu model spesifikasi tertinggi bagi barisan CR-V 2017 ini iaitu merangkumi sebanyak 40% daripada keseluruhan tempahan. Diikuti dengan varian 1.5L Turbo 2WD sebanyak 20% dan 1.5L Turbo 4WD pula mencapai 9%.
Manakala varian 2.0L i-VTEC 2WD pula mencecah 20% daripada keseluruhan tempahan. Ini menunjukkan ramai rakyat Malaysia semakin menerima enjin pengecas turbo, sama seperti dengan Civic 2016 yang lebih banyak menerima tempahan bagi enjin tersebut berbanding penjana kuasa konversional.
Manakala warna yang paling digemari ialah Lunar Silver Metallic dengan lebih daripada 30% pelanggan yang menempah CR-V serba baharu ini memilihnya. Diikuti dengan warna baharu White Orchid Pearl iaitu sebanyak 27%.
CR-V yang turut dilancarkan serentak di Kuala Lumpur dan Sarawak turut membolehkan Honda Malaysia memperluaskan perkongsian pasaran di Timur Malaysia. Malah varian 1.5 Turbo Premium 2WD turut diterima baik di bahagian sana dengan jualan mencecah 38%. Antara faktor penerimaan yang sangat memberangsangkan ini adalah penambahbaikan penjana kuasanya, sistem 4WD dan juga elemen tambahan yang ditampilkan.
Pelancaran di Kuching merupakan kali kedua bagi Honda Malaysia yang sebelum ini pernah melancarkan model BR-V di sana pada Januari lalu. Malah ia turut memacu jualan di negara ini sebanyak 10% bagi separuh pertama 2017 (1H2017). Setakat ini, jualan di Sabah dan Sarawak telah mencecah lebih daripada 3,500 unit, iaitu merangkumi 6.6% bagi jualan keseluruhan untuk 1H2017. Manakala perkembangan tahun ke tahun pula telah melonjak sehingga 48% bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Varian turbo dijanakan oleh enjin 1.5 liter suntikan terus pengecas turbo dengan lonjakan kuasa sebanyak 193 PS dan 243 Nm tork di antara 2,000 hingga 5,000 rpm. Ia sama dengan enjin yang dipadankan pada Civic varian turbo namun lonjakan kuasa bagi CR-V dipertingkatkan sebanyak 20 PS/23 Nm.
Manakala model asas masih mengekalkan enjin NA 2.0 liter dengan hamburan kuasa 153 PS dan 189 Nm. Kedua-dua model dipadankan bersama transmisi CVT Earth Dream daripada Honda sendiri iaitu menggantikan unit automatik lima-kelajuan sebelum ini.
Masih kekal sebagai SUV lima-tempat duduk untuk pasaran Malaysia (turut menawarkan kapasiti tujuh-tempat duduk untuk pasaran negara lain termasuk Indonesia), bahagian luaran CR-V 2017 ini dihiasi bar krom yang lebih besar pada gril atas bersama lampu utama projektor dinamik LED (1.5 TC-P menerima Advanced LED sepenuhnya).
Malah teknologi LED turut menjadi pilihan bagi lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok, lampu belakang dan lampu brek CR-V kali ini. Ia juga dilengkapi dengan pengesan untuk mengunci pintu dengan hanya sentuhan mudah.
Walau bagaimana pun, varian turbo dilengkapi dengan rim baharu 18-inci (17-inci bagi 2.0 N/A) serta dua corong tip ekzos krom seperti Civic Turbo (ekzos tunggal bagi 2.0 N/A). Bahagian belakang juga agak berbeza dengan model sebelum ini, di mana CR-V 2017 dipadankan dengan lampu belakang LED yang direka dengan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah, yang turut bersambung kepada pintu tailgate (tailgate larasan kuasa untuk 1.5 TC-P, butang kawalan operasi bagi lain-lain varian).
Menjengah bahagian dalamannya, perubahan besar turut ditampilkan termasuk panel papan pemukanya dibentangi material kulit sentuhan lembut berwarna hitam serta ada kekemasan kayuan (tona perak untuk varian 2.0L 2WD) di bahagian tersebut bersama konsol tengah. Elemen seperti panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan auto brake hold, pendingin hawa auto dwi-zon (dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang), kemasukan tanpa kunci, butang Push Start dan skrin sesentuh audio tujuh-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan-pembesar suara adalah standard bagi semua varian.
Bagi aspek keselamatan, semua varian CR-V 2017 dilengkapi dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA) dengan Agile Handling Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), ABS dengan EBD serta kamera undur pelbagai-sudut sebagai ciri standard.
Bagi varian tertinggi iaitu 1.5 TC-P yang dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing, ini adalah termasuk ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).
Untuk 1.5TC-P, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM167,700, RM161,600 bagi 1.5TC 4WD dan 1.5TC 2WD pula RM155,700. Bagi varian 2.0L 2WD pula berharga RM142,400. Kesemua varian turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 km (tertakluk pada terma & syarat) di mana-mana 91 pengedar Honda sah di seluruh negara.
GALERI: Honda CR-V 1.5TC-P 2WD
GALERI: Honda CR-V 1.5TC 2WD
GALERI: Honda CR-V 2.0L 2WD bersama pakej aksesori Modulo
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.