Givi Asia Sdn Bhd baru sahaja melancarkan kotak barangan berkapasiti 32 liter dinamakan sebagai Monolock B32 Bold untuk pasaran Malaysia. Ia adalah satu produk yang direka di Itali dan dibuat di kilang Givi Asia Sdn Bhd di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.
Kotak barangan jenis terletak di atas ini menggunakan rekaan serba baru, dengan antara ciri istimewanya adalah sistem kunci baru yang dikatakan lebih selamat dan mudah diguna. Untuk membukanya, pengguna hanya perlu memusing kunci, menekan satu butang dan penutupnya akan terbuka. Untuk menutup pula, anda hanya perlu menutup kembali bahagian atasnya dan pusingkan kunci. Ia juga boleh dilakukan dengan kunci dicabut dari kotak tersebut.
Monolock B32 Bold boleh dipasang pada pelbagai jenis motosikal, dari yang berkapasiti kecil hingga 600 cc, selagi ia mempunyai kerangka sokongan Givi yang dilekatkan pada motosikal. Kerangka ini boleh didapati bermula pada harga RM45 untuk model MV dan RM138 untuk model Heavy Duty, manakala kotak barangan Monolock B32 Bold pula dijual berasingan pada harga RM222.60 termasuk GST, bersama tapak Monolock.
Bentuk Monolock B32 Bold adalah lebih kepada berpetak, dengan kebanyakannya berwarna hitam dan terdapat kemasan kelabu di belakangnya. Bahagian atasnya rata dan terdapat pemegang untuk memudahkan pengguna sekiranya mereka mahu membuka keseluruhan kotak ini dan menjinjingnya. Paling penting, ia adalah kalis air.
Kami telah menggunakan kotak ini dalam satu perjalanan khas wakil media, dengan hujan selebat-lebatnya dari kawasan rehat Seremban ke susur keluar Port Dickson, dan didapati tiada setitis air pun yang masuk ke dalamnya. Antara motosikal yang turut serta dan menggunakan kotak barangan baru ini adalah seperti Yamaha LC135, Honda RS150R, Honda Future, Honda Wave, Demak DVS 110, Modenas Ace 115, Vespa LX150, Piaggio Liberty, Yamaha NMax, Honda PCX, Yamaha FZ150i, Kawasaki KLX150, BMW R1200 GS, Kawasaki ER6-f, Kymco Downtown.
Anda boleh mula mendapatkan kotak barangan Monolock B32 Bold di semua wakil pengedar barangan motosikal Givi sah seluruh Malaysia bermula awal bulan Ogos ini, bersama jaminan selama dua tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.