Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd hari ini memperkenalkan Tucson 2.0L CRDI Diesel sebagai pertambahan terbaru bagi barisan SUV keluaran jenama Korea itu untuk pasaran Malaysia pada harga RM155,788 atas jalan, tidak termasuk insurans. Hadir dengan enjin turbocaj, ia disifatkan mampu memberikan prestasi dan penjimatan sekali gus.

Enjin berkenaan mampu menghasilkan janaan kuasa sebanyak 178PS dan 400Nm dari 1,750 rpm hingga 2,750 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan boleh mencapai kelajuan maksimum 201 km/j. Dari kedudukan pegun, enjin ini boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa 9.3 saat. Ia turut dilengkapi dengan penyuntik elektronik piezo yang menyampaikan bahan api pada kadar 1,800 bar.

Turut melengkapi pertambahan varian terbaru ini ialah ciri seperti lampu utama LED dengan static bending light; fungsi Auto Hold serta pintu belakang dengan ciri pintar bukaan automatik ketika kunci berada dalam jaraknya. Turut ditawarkan sebagai pilihan ialah pakej kulit dalam tiga pilihan warna – hitam, merah dan putih, kit badan dan rim 19 inci.

Dengan penawaran terbaru ini, Hyundai Tucson merupakan SUV yang ditawarkan dengan pilihan enjin terbanyak di dalam segmennya. Yang dimaksudkan ialah dari enjin 1.6L Gamma T-GDI dan Nu 2.0 MPI selain enjin 2.0L R-Series CRDI Diesel yang diperkenalkan ini.

Selain itu, Tucson 2.0L Elegance juga diberikan beberapa ciri tambahan terbaru, seperti lampu kabus serta lampu nyalaan siang. Semua varian Tucson yang dijual kini menerima pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia.

Bagi ciri-ciri keselamatan, Tucson dilengkapi dengan pakej lengkap yang terdiri daripada Vehicle Stability Management (VSM), Hillstart Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC) dan Electric Parking Brake (EPB) dengan ciri Automatic Vehicle Hold. Bagi varian 1.6L TGDI dan 2.0L CRDI Diesel ini, ia turut hadir dengan enam beg udara.

Hyundai Tucson 1.6L T-GDI