Mazda SkyActiv-X – enjin petrol tanpa palam pencucuh dalam rancangan “Sustainable Zoom-Zoom 2030”

Mazda SkyActiv-X – enjin petrol tanpa palam pencucuh dalam rancangan “Sustainable Zoom-Zoom 2030”

Dalam rancangan jangka masa panjang yang digelar “Sustainable Zoom-Zoom 2030,” Mazda telah mengumumkan enjin yang disebut sebagai SkyActiv-G generasi kedua sebelum ini akan dikenali sebagai enjin SkyActiv-X.

Enjin SkyActiv-X ini bakal menggunakan teknologi Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang tidak menggunakan palam pencucuh, sebaliknya pembakaran akan dimulakan oleh kuasa mampatan campuran udara dan bahan api, sama seperti konsep enjin diesel empat-lejang.

Enjin berkenaan akan membuat kemunculannya pada tahun 2019. Konsep enjin HCCI ini sebenarnya sudah lama wujud, tetapi pembina-pembina enjin masih lagi belum mendapat cara untuk mengawal pemasaan pembakaran dalam kebuk tersebut (enjin petrol konvensional dapat dikawal menerusi palam pencucuh, manakala enjin diesel boleh dikawal menerusi penyuntik bahan api).

Oleh itu, Mazda telah hadir dengan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan) bagi mengawal pemasaan pembakaran tersebut. Menurut Mazda, sistem ini mampu untuk memaksimakan tempoh pencucuhan mampatan, dan juga memastikan peralihan yang lancar antara pencucuhan percikan dan mampatan.

Dengan nisbah mampatan yang sangat tinggi, enjin baharu ini mampu menghasilkan nisbah campuran udara-bahan api yang sangat lean (bahagian udara lebih banyak berbanding bahagian bahan api dalam nisbah campuran) seterusnya meningkatkan kecekapan enjin antara 20% hingga lebih 30% berbanding enjin SkyActiv-G sedia ada dan antara 35% hingga lebih 40% berbanding versi asal dengan kapasiti sama yang muncul pada tahun 2008.

Menurut Mazda lagi, teknologi ini sangat efektif sehingga kecekapan bahan api enjin SkyActiv-X berkenaan sama atau lebih baik dari enjin diesel SkyActiv-D. Enjin berkenaan turut akan diberikan suapan supercharger dan ia didakwa menawarkan respon lebih baik serta 10% hingga 30% lebih tork berbanding enjin SkyActiv-G.

Dengan kecekapan enjin yang tinggi pada semua peringkat kelajuan enjin dan juga beban, pilihan nisbah gear dapat dikembangkan lagi, seterusnya memberikan penggunaan bahan api dan juga prestasi pemanduan lebih baik, dakwa Mazda lagi.

Selain dari enjin SkyActiv-X, “Sustainable Zoom-Zoom 2030” turut menggariskan teknologi lain yang akan dilengkapkan pada tahun 2030 dan disasarkan untuk keseronokan pemanduan dan membantu “menyelesaikan isu-isu yang dihadapi manusia, bumi dan juga masyarakat”. Dengan itu, Mazda akan mula memperkenalkan kenderaan elektrik dan juga teknologi pemanduan elektrik lain bermula pada tahun 2019 dengan nisbah tenaga mesra alam yang lebih tinggi dan mengurangkan penjualan sesetengah kenderaan bagi mengurangkan pencemaran udara.

Mazda SkyActiv-X – enjin petrol tanpa palam pencucuh dalam rancangan “Sustainable Zoom-Zoom 2030”

Walaupun banyak usaha akan dilakukan untuk pembangunan teknologi elektrik, Mazda masih lagi berjanji untuk memperhalusi binaan enjin pembakaran dalaman kerana ia masih lagi sumber kuasa utama untuk menggerakkan kenderaan di seluruh dunia untuk tahun-tahun mendatang dan ia juga mempunyai potensi yang tinggi bagi mengurangkan pencemaran karbon dioksida. Usaha ini bakal dijalankan seiring dengan pembangunan teknologi elektrik yang dinyatakan tadi.

Mazda turut meluaskan lagi langkah-langkah untuk mengurangkan penceramaran karbon dioksida dengan pendekatan “well-to-wheel” yang mengambil berat pencemaran keseluruhan yang dihasilkan pada setiap riwayat kenderaan – dari mula dihasilkan dikilang, sehingga dilupuskan.

Pembuat automotif dari Jepun tersebut mensasarkan untuk mengurangkan pencemaran karbon dioksida “well-to-wheel” ini sebanyak 50% pada 2030 nanti berbanding tahap yang dicapai pada 2010. Manakala menjelang 2050, ia disasarkan akan berkurang sehingga 90%. Usaha ini akan dilakukan menerusi polisi yang mengutamakan peningkatan terhadap kecekapan dunia-sebenar dan juga pengurangan emisi.

Untuk ciri keselamatan dalam pelan jangka panjang ini pula, Mazda bakal memadankan sistem bantuan pemanduan i-ActivSense sebagai ciri standard untuk kesemua kenderaan yang dijual. Usaha ini akan dimulakan di Jepun terlebih dahulu, dan kemudian akan turut dijalankan secara berperingkat pada pasaran-pasaran lain seluruh dunia bermula tahun hadapan.

Mazda SkyActiv-X – enjin petrol tanpa palam pencucuh dalam rancangan “Sustainable Zoom-Zoom 2030”

Jenama berkenaan juga akan terus memperbaiki rekaan untuk posisi pemanduan, bentangan pedal dan juga penglihatan keluar pada kenderaan-kenderaan keluarannya di mana kesemua elemen ini menyumbang kepada keselamatan kenderaan. Mazda juga akan membina teknologi keselamatan yang lebih terkini di bawah teknologi Keselamatan Proaktif Mazda, dan ia disasarkan untuk mengelakkan kemalangan trafik.

Seiring dengan pengeluar-pengeluar lain, Mazda akan mula untuk menguji teknologi pemanduan sendiri dan akan memperkenalkannya pada tahun 2020, sebagai sebahagian dri teknologi konsep Mazda Co-Pilot, iaitu teknologi yang berasaskan manusia. Sistem ini disasarkan akan dipadankan secara standard pada semua model pada tahun 2025.

Teknologi ini juga akan menghasilkan model perniagaan baharu yang akan menggunakan kebolehan hubungan bagi membolehkan pemilik kenderaan “menyokong keperluan masyarakat pada kawasan yang semakin berkurangan penduduk” dan juga untuk mereka yang menghadapi masalah mobiliti.

Mazda juga akan terus memperhalusi DNA sedia ada iaitu konsep Jinba Ittai bagi merapatkan lagi hubungan antara pemandu dan kereta, serta konsep rekaan Kodo yang akan disasarkan untuk “meningkatkan rekaan kenderaan pada tahap seni yang akan meningkatkan emosi kepada semua yang memandangnya.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required