Protokol ujian baharu ASEAN NCAP kini lebih ketat – Honda CR-V 2017 terima pengiktirafan lima-bintang

Protokol ujian baharu ASEAN NCAP kini lebih ketat – Honda CR-V 2017 terima pengiktirafan lima-bintang

Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) kini telah memperkenalkan protokol baharu untuk ujian keselamatannya yang akan digunakan bermula tahun ini hingga 2020. Protokol baharu berkenaan kini lebih ketat dan menggunakan skema penarafan tunggal, berbanding protokol yang digunakan dari 2012 hingga 2016 yang menggunakan dua penarafan berbeza iaitu perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan juga perlindungan kanak-kanak (COP). Ujian pertama protokol baharu ini dimulakan dengan Honda CR-V 2017, dan SUV berkenaan berjaya memperolehi penarafan penuh lima-bintang.

Ujian pertama ini dilakukan pada Julai lalu di makmal ujian Institut Penyelidikan Automobil Jepun (JARI) – berat CR-V baharu ini bersama patung-patung ujian hampir kepada dua tan, tidak sesuai untuk menggunakan makmal tempatan. Selain dari AOP (mewakili 50%) dan COP (mewakili 25%), ujian baharu ini turut mengambil kira Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT) yang mewakili 25% markah bagi dijumlahkan sebagai markah akhir keseluruhan dan menentukan jumlah bintang yang akan diperolehi.

Bagi ujian yang dijalankan pada CR-V ini, ia menerima 47.25 markah untuk AOP, 22.84 markah untuk COP, manakala SAT pula diberikan 18.71 markah membolehkan ia menerima markah akhir 88.80 sekaligus layak menerima penarafan lima-bintang.

Protokol ujian baharu ASEAN NCAP kini lebih ketat – Honda CR-V 2017 terima pengiktirafan lima-bintang

Perincian markah untuk setiap aspek adalah seperti berikut; Bagi AOP, CR-V menerima markah pelanggaran hadapan 14.76 dari 16 markah penuh, manakala untuk perlindungan sisi pula SUV ini berjaya meraih 16 markah penuh. Dengan perlindungan yang diberikan oleh beg udara tirai, Honda CR-V turut menerima markah 3.26 markah dari 4 markah penuh untuk Teknologi Perlindungan Kepala (HPT). Jumlah keseluruhan adalah 34.02 markah dari 36 markah penuh, mewakili 47.25% dari 50% keseluruhan.

Untuk COP pula, CR-V menerima 15.65 markah dari 16 markah penuh untuk pelanggaran hadapan, 8 markah penuh untuk pelanggaran sisi, 11.11 markah dari 12 markah penuh untuk aspek kemudahan memasang tempat duduk kanak-kanak, dan 10 markah dari 13 markah penuh untuk penilaian asas kenderaan bagi pemasangan. Jumlah keseluruhan markah adalah 44.78 dari 49 markah penuh, mewakili 22.84% dari 25% keseluruhan.

Berbeza pada protokol terdahulu, ASEAN NCAP menetapkan sistem kawalan kestabilan elektronik dan amaran pemakaian tali pinggang hadapan wajib untuk sesebuah kenderaan itu mendapat penarafan lima-bintang. Untuk protokol baharu ini, kedua-dua syarat berkenaan diletakkan di bawah SAT dengan lebih banyak lagi kriteria ditetapkan untuk mendapatkan markah tinggi, dan ia akan menjejaskan markah keseluruhan jika bahagian ini dipandang enteng.

ASEAN NCAP juga menjadi NCAP rantau pertama yang mementingkan sistem Pemantau Titik Buta (BLIS) sebagai kriteria penting bagi mendapatkan markah tinggi dalam ujian, memandangkan jalan raya di ASEAN mempunyai jumlah motosikal (terutamanya kapcai dan skuter yang bersaiz kecil) yang seringkali terlibat dalam kemalangan kerana kehadiran mereka tidak disedari pemandu kenderaan yang lebih besar.

Jadi untuk bahagian SAT ini, CR-V meraih 13.47 markah dari 18 markah penuh mewakili 18.71% dari 25% jumlah keseluruhan. Markah berkenaan diperolehi dari lapan markah penuh untuk aspek Keberkesanan Brek dan Pengelakkan (EBA) menerusi teknologi ABS dan VSC (Honda menawarkan sistem ini untuk semua varian di seluruh rantau ASEAN) dan juga tiga markah dari enam markah penuh dengan pemadanan amaran pemakaian tali keledar yang hanya diberikan pada tempat-tempat duduk hadapan.

CR-V turut menerima dua markah penuh dalam aspek SAT terkini kerana ia dipadankan dengan fungsi-fungsi dari Honda Sensing seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, bantuan kekal lorong dan pemantau perhatian pemandu. Markah 0.47 markah selebihnya diterima dari sistem Pemantau Titik Buta yang mana aspek ini mewakili dua markah penuh – sistem LaneWatch CR-V ini hanya memantau titik buta sebelah kiri manakala piawaian dari ASEAN NCAP menetapkan pemantauan untuk kedua-dua sisi perlu untuk mendapatkan markah tinggi.

Ujian yang dijalankan berkenaan menggunakan model 2.4 EL dari pasaran Thailand. Relevannya model berkenaan pada pasaran Malaysia ialah ia menggunakan kerangka badan dengan struktur yang sama dan kesemua varian menerima kelengkapan standard dengan enam-beg udara, ABS, VSC serta pra-tegang dan amaran pemakaian pada tali keledar hadapan.

Bonus untuk pasaran Malaysia, CR-V varian tertinggi 1.5 Turbo Premium 2WD yang dipasang di Melaka turut menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem keselamatan Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM) serta sistem cruise control adaptif bersama Low Speed Follow (LSF).

“Kami gembira dengan keputusan terbaharu ASEAN NCAP menggunakan penarafan baharu yang dikeluarkan untuk Honda CR-V menerima keputusan lima-bintang dalam markah keseluruhan. Ini menunjukkan bahawa pengeluar-pengeluar berdedikasi dalam menghasilkan kereta yang lebih selamat untuk rantau ASEAN setara dengan protokol keselamatan baharu kami. Tambahan lagi, keputusan Honda CR-V ini akan menjadi pemangkin untuk jenama lain bagi menghasilkan kereta lain yang lebih selamat untuk rantau ini. Walaupun Honda Sensing setakat ini hanya ditawarkan kepada varian tertinggi, kami memandang kehadapan untuk melihat ia akan ditawarkan secara standard untuk semua varian pada masa hadapan,” kata pengerusi ASEAN NCAP, Prof. Dr. Wong Shaw Voon.

Setiausaha agung ASEAN NCAP, Dr. Khairil Anwar Abu Kasim pula berkata, “tahap keselamatan Honda CR-V adalah konsisten dengan model yang dihasilkan untuk rantau lain. Ia jelas setelah kami membuat perbandingan dengan ujian NCAP lain, contohnya Euro NCAP dan Australasian NCAP. Dengan penarafan lima-bintang CR-V baharu, Honda benar-benar komited terhadap konsep keselamatan globalnya iaitu ‘Keselamatan untuk Semua'”.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required