Dua minggu lalu, kami kongsikan video side-kick lagenda F1 Micheal Schumacher, Rubens Barrichello bersama anaknya di litar. Minggu ini, sempena GP Belgium di litar Spa Francorchamps, anak Schumacher sendiri iaitu Mick Schumacher diberi penghormatan untuk memandu jentera Benetton Ford B194 yang dipandu oleh ayahnya ketika bergelar juara dunia F1 musim 1994, dilitar yang menjadi tempat pertama Schumi memenangi GP pertamanya 25 tahun lalu.

Kemenangan pertama Schumacher di Spa berkenaan diraih setelah beliau berada 12 bulan dalam kancah F1, di mana debutnya dalam kejohanan tersebut turut berlangsung pada litar berkenaan. Spa Francorchamps ini juga menjadi antara litar kegemarannya, dibuktikan dengan rekod kemenangan enam kali di GP Belgium.

Sepanjang kariernya di dalam F1, Schumacher berjaya dinobatkan sebagai juara dunia sebanyak tujuh kali – dua daripadanya dengan pasukan Benetton (1994 dan 1995), manakala lima lagi bersama Ferrari (2000 hingga 2004). Selain itu, beliau juga memegang pelbagai rekod dalam Formula 1 antaranya kemenangan GP terbanyak (91), lap terpantas terbanyak (77) dan juga kemenangan terbanyak dalam satu musim (13).

Kemuncak karier Schumi tentulah ketika bersama Ferrari, dan pertarungan epik beliau bersama Mika Hakkinen dari pasukan West McLaren Mercedes tentunya terpahat sebagai antara perseteruan terhebat dalam sejarah F1.

Schumi bersara dari F1 ketika bersama Ferrari ketika berakhirnya musim 2006. Namun pada tahun 2010, lagenda yang masih hidup ini kembali ke kancah F1 untuk berlumba bersama pasukan Mercedes – kembali bekerjasama dengan pengarah teknikalnya semasa di Benetton dan Ferrari iaitu Ross Brawn.

Akhirnya, Schumacher bersara secara kekal setelah tamatnya musim F1 2012. Malang tidak berbau, Schumi terlibat dalam kemalangan ketika bermain ski bersama anaknya Mick pada tahun 2013, dan terus koma akibat kecederaan yang dialami. Keadaan sebenar kesihatan beliau masih tidak diketahui sehingga sekarang berikutan perkara berkenaan dianggap sebagai isu peribadi oleh keluarganya.

Sementara itu, Mick yang kini sudah berusia 18-tahun dan kini sedang berlumba dalam kejohanan Formula 3. Pada sesi yang begitu menggamit emosi ini, Mick turut mengenakan helmet khas iaitu sebelah dengan rekaan yang digunakan kini dalam F3, manakala sebelah lagi mirip rekaan ikonik helmet bapanya dengan elemen bendera Jerman.