Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

Project One – Hypercar yang paling ditunggu-tunggu tahun ini rekaan Mercedes-AMG kini telah didedahkan secara rasmi di Frankfurt Motor Show. Seperti yang diwar-warkan sebelum ini, kereta berkenaan dijana bukan dengan enjin yang diinspirasikan dari jentera Formula 1, tetapi ia sememangnya dikuasakan dengan enjin Formula 1 sebenar.

Jadi, ruang enjin dibelakang kokpit utama ini telah disumbatkan enjin F1 1.6 liter V6 turbo suntikan bahan api terus, bersama spring injap pneumatik yang membolehkan enjin ini berputar pada kelajuan 11,000 rpm tanpa masalah. Bagi membolehkan ia digunakan sebagai kereta harian, enjin F1 berkenaan telah ditala bagi membolehkan ia beroperasi menggunakan petrol RON 98 yang boleh diperolehi pada stesen minyak biasa.

Selain itu, teknologi pengecas turbo F1 turut dibawa terus ke kereta ini, menampilkan sistem pisahan bilah turbin dan bilah pemampat (compressor), yang membolehkan pemampat diletakkan berasingan jauh dari ekzos bagi mendapatkan udara kemasukan ke kebuk pembakaran yang lebih sejuk.

Ia digabungkan dengan dua motor generator elektrik. Motor pertama digelar MGU-H (H untuk haba/heat) yang menghasilkan sekitar 120 hp tersebut menerima tenaga haba ekzos untuk menggerak pemampat, seterusnya mengurangkan turbo-lag dan Mercedes-AMG mendakwa tindak balas enjin ini adalah lebih baik berbanding enjin V8 tanpa turbo.

Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

Manakala motor kedua pula digelar MGU-K (K untuk Kinetik) dihubungkan kepada aci engkol dan memulihkan lebih 80% tenaga kinetik kereta ini semasa membrek. Motor ini memberikan kuasa tambahan 161 hp, membolehkan kuasa pada roda belakang sahaja berada pada kadar lebih 670 hp yang disampaikan menerusi transmisi manual automated lapan-kelajuan. Kecekapan haba enjin ini pula dicatatkan 40% baik berbanding rekod produksi yang dicatatkan oleh Toyota Prius generasi baharu.

Jentera ini juga menerima sepasang lagi motor elektrik, kali ini pada gandar hadapan bagi memberikan sistem pacuan semua roda dan juga torque vectoring. Secara keseluruhan, Project One dibekalkan dengan kuasa lebih dari 1,000 hp, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 200 km/j (bukan salah tulis, memang 200 km/j!) dalam masa tidak sampai enam saat dan mencatatkan kelajuan maksima lebih dari 350 km/j.

Selain dari sangat berkuasa, kereta ini juga mampu dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya pada jarak 25 km menggunakan motor-motor pada gandar hadapan, motor MGU-K dan juga suapan kuasa dari pek bateri lithium-ion yang terletak dibelakang roda hadapan. Bateri berkenaan menggunakan sel yang sama serta diletakkan pada posisi serupa seperti konfigurasi pada kereta F1 sebenar, tetapi ia dibina lebih besar bagi memberikan kuasa yang lebih untuk digunakan di jalan raya biasa.

Secara keseluruhan, sistem elektrikal pada Project One masih lagi menggunakan sistem tradisional 12-volt, tetapi unit janakuasa hibridnya beroperasi dengan 800 volt berbanding hanya 400 volt pada kenderaan hibrid biasa.

Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

Bukan sahaja unit janakuasa diambil dari F1, malah kerangka Project One ini turut menerapkan kejuruteraan dari mesin perlumbaan berkenaan. Jentera ini menampilkan kerangka monocoque yang dibina dari gentian karbon yang menampung enjin dan transmisi. Suspensi multilink kereta ini pula menampilkan penyerap hentak yang dipasang secara melintang bagi mengurangkan olengan pada kadar paling sedikit walaupun semasa pertukaran haluan secara drastik, serta mengelakkan ketidakselesaan semasa situasi berkenaan. Brek karbon seramik juga dilengkapkan sebagai ciri standard.

Dengan teknologi yang dibekalkan menyebabkan rupa bentuk jentera ini juga lebih agresif dari pesaing-pesaingnya yang lain. Ia direka panjang serta rendah, dan menampilkan muka hadapan agresif bersama lampu hadapan LED tirus, bersama apron tipikal AMG yang membolehkan liang kemasukan udara hadapan direka sangat besar.

Splitter udara hadapan Project One direka membolehkan ia memanjang secara automotik ketika kereta ini dalam kelajuan tinggi, dan ia akan berkerjasama dengan liang udara diatas ruang roda hadapan bagi memberikan downforce yang lebih kuat.

Liang udara dihadapan cermin utama kereta ini turut mempunyai fungsinya tersendiri, iaitu menghalakan aliran udara panas ke sisi kokpit bagi membolehkan udara lebih segar dihalakan tanpa halangan ke arah skup udara enjin pada bahagian bumbung. Panel sisi bersama kemasan bermotif hijau Petronas pada bahagian sisi (direka oleh orang yang sama membuat rekaan livery perlumbaan kereta F1 Mercedes-AMG Petronas) pula berfungsi mengalirkan udara pada bahagian sisi badan.

Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

Penutup enjin kereta ini dibina dengan bahan telus pandangan, serta diberikan liang pengudaraan dan sepasang liang NACA bagi menyejukkan enjin dan transmisi. Skup udara enjin pula dibina bersama sebuah sirip gergasi yang berfungsi untuk menstabilkan pergerakan sisi, manakala spoiler belakang dengan dua sudut aliran udara (spoiler ini boleh disorokkan ketika tidak berfungsi) akan memberikan keberkesanan aerodinamik yang lebih baik, beroperasi bersama diffuser udara pada bahagian bawah.

Selain dari diffuser yang sangat agresif, bahagian belakang hypercar ini juga menampilkan tip ekzos besar bersama dua lagi tip berkembar lebih kecil dibawahnya. Ia juga diberikan kemasan apron dengan gril mesh hampir sebahagian besar pada bahagian belakang, yang turut menempatkan sepasang lampu belakang LED tirus.

Bagi melengkapkan jentera ini, ia diberikan rim aloi forged pelbagai jejari dengan penutup sisi gentian karbon bersaiz 19-inci di hadapan (dengan tayar 285/35) dan 20-inci di belakang (dengan tayar 335/20), di mana kesemuanya dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang direka khas hanya untuk Project One ini.

Walau bagaimanapun, bahagian dalaman hypercar ini direka dengan sangat ringkas. Kabin kereta ini diberikan dua tempat duduk bucket penuh (balutan kulit nappa berwarna kelabu magma dan hitam microfiber) serta roda stereng berbentuk empat segi seperti kereta lumba sebenar bersama lampu penukaran gear pada bahagian tengah dan juga suis-suis kawalan untuk pelbagai talaan.

Papan pemuka kereta ini juga sangat ringkas menampilkan dua skrin paparan informasi bersaiz 10-inci – sebuah diletakkan dibelakang roda stereng sebagai paparan instrumen, dan sebuah lagi di bahagian tengah sebagi skrin sistem infotaimen COMAND.

Seperti kereta lumba sebenar, set pedal dan roda stereng jentera ini direka agar boleh dilaras, manakala suis kawalan lain direka sangat ringkas dan diletakkan pada bahagian tengah kabin bersama ruang storan kecil. Kereta ini juga tidak mempunyai cermin padang belakang, sebaliknya digantikan dengan skrin yang menerima imej dari kamera.

Buat masa sekarang, Project One sebenarnya masih lagi dalam peringkat konsep, tetapi Mercedes-AMG telah menyatakan mereka akan membinanya dalam jumlah 275 unit sahaja. Harga? khabar angin mengatakan ia akan dijual pada harga €2.17 juta (RM10.9 juta) dan kesemua unit yang bakal dibina tersebut dlaporkan telahpun habis dijual.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required