Pihak pengendali perlumbaan Formula 1 kini sedang berusaha untuk menghasilkan mikrofon khas yang boleh diletakkan pada jentera-jentera perlumbaan bagi memberikan bunyi ekzos yang lebih kuat serta ‘mendalam’ untuk mereka yang menyaksikan perlumbaan tersebut menerusi television, lapor Reuters.
Ini berikutan bunyi ekzos dihasilkan oleh enjin 1.6 liter V6 turbo hibrid yang digunakan sejak tahun 2014 menggantikan enjin-enjin V8, V10 dan V12 pada era-era sebelumnya agak tidak mengujakan pada siaran televisyen. Menurut pengarah urusan komersial Formula 1, Sean Bratches, lebih usaha perlu dilakukan untuk penonton-penonton seluruh dunia.
“Salah satu aspek yang akan kami perkuatkan pada masa hadapan adalah bunyi sukan ini, kerana ia agak penting terhadap peminat dan sangat mustahak dalam semua penyelidikan yang kami lakukan,” kata Bratches kepada agensi berita berkenaan.
Menurut Bratches lagi, buat masa sekarang seorang produser dari Australia yang mempunyai reputasi cemerlang dalam inovasi penyiaran sukan di televisyen, David Hill terbabit dengan usaha terbaharu ini.
“Beliau sedang berusaha bersama pihak Jerman untuk menghasilkan mikorfon seramik yang boleh kami lekatkan pada paip ekzos bagi memberikan bunyi sebenar kepada peminat,” jelasnya lagi dan menyatakan ini hanyalah salah satu langkah dalam usaha berkenaan.
Pada tahun 2014, pasukan-pasukan Formula 1 pernah menguji sistem ekzos ‘megaphone’ yang berfungsi seperti trumpet bagi menguatkan lagi bunyi enjin, namun eksperimen berkenaan tidak berjaya.
Penyiaraan perlumbaan Formula 1 telah diambil alih oleh Liberty Media dari Amerika Syarikat sejak Januari lalu, setelah itu perlumbaan berkenaan menampilkan sudut kamera, aperture dan kedudukan yang lebih segar menghasilkan sensasi kelajuan yang lebih baik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.