Jurutera Triumph Motorcycles dari ibu pejabatnya di Hinckley, bersama dua beradik, David Lopez dan Felipe Lopez telah membangunkan sebuah Triumph Tiger 800 XCX khas untuk perlumbaan Rali Pan Africa 2017. Motosikal ini diubah suai supaya dapat berhadapan dengan cabaran getir rali 2,000 km ini.
Walaupun Tiger 800 XCX sudah dianggap cukup berkemampuan dalam keadaan asalnya, perubahan masih perlu untuk menjadikannya lebih ringan dan dapat menyediakan kelengkapan bersesuaian bagi penunggang. Antara perubahan penting adalah bahagian hadapan yang ditukar supaya dapat menyediakan instrumen penting seperti peta perjalanan, ICO dan lampu isyarat GPS.
Pada bahagian itu juga terdapat lampu hadapan yang lebih ringan, manakala subframe pula diperkuat untuk menampung beberapa komponen baru. Selain panel badan, motosikal ini juga turut diberi perlindungan tambahan, terutamanya pada bahagian enjin.
Suspensi juga diubah, dengan melihatkan unit daripada Ohlins, dan ia mempunyai jarak pergerakan yang lebih tinggi, sesuai dengna perlumbaan rali yang banyak melibatkan lompatan dan jalan-jalan kasar yang sukar diduga. Bahagian belakangnya juga lebih pendek bagi memperbaiki titik graviti.
Walaupun begitu, motosikal hanya menyumbang kepada separuh sahaja kejayaan dalam perlumbaan ini. Ia masih bergantung kepada penunggangnya sendiri. Oleh itu, kedua-dua David dan Felipe telah bekerja keras untuk mempersiapkan diri secara mental dan fizikal supaya mereka dapat terus bertahan dalam perlumbaan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.