Walaupun perlumbaan berprestij Formula 1 sudah tidak dianjurkan lagi oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula tahun hadapan, pihak pengurusannya kini telahpun merancang pelbagai strategi untuk litar berkenaan bagi lima tahun akan datang, menurut laporan Malay Mail Online.
CEO Datuk Razlan Razali berkata, SIC akan dijadikan seperti litar Suzuka di Jepun selepas ini yang turut dilengkapi taman tema dan juga hotel. “Kami akan berehat selama lima tahun. Tanpa pengajuran F1, kami perlu terus menambah lebih infrastruktur yang mungkin akan membantu dalam memberikan keuntungan,” jelasnya.
“Idea ini sebenarnya sudah ada sejak hari pertama saya bertugas pada 2008 tetapi sekarang perdana menteri telah mengarahkan saya untuk meneruskannya untuk tempoh lima tahun akan datang. Kami mahu menawarkan sesuatu untuk semua orang. Contohnya, jika sebuah keluarga datang ke sini ketika MotoGP, ayah boleh menonton perlumbaan manakala ahli keluarga lain boleh berseronok di taman tema,” katanya.
SIC kini sedang merancang untuk membawa perlumbaan V8 Supercar Australia atau membawa semula kejohanan Super GT Jepun bagi menggantikan slot yang ditinggalkan F1. “Tiga acara yang kami sedang pertimbangkan adalah Super GT Jepun, Kejohanan Supercar Australia (V8 Supercars) dan Kejohanan Dunia FIM Endurance. Tetapi kami masih lagi belum membuat keputusan,” kata Razlan.
Tetapi, walau apapun berlaku, SIC akan tetap menganjurkan MotoGP, dan litar ini tidak akan menjadi gajah putih. Razlan juga menjelaskan bahawa F1 bukanlah kehilangan besar kepada negara. “Ketika perlumbaan berlangsung, F1 hanya membawa sejumlah 30,000 hingga 40,000 pelancong asing setiap tahun. Itu bukanlah angka yang besar. Saya pasti angka berkenaan dapat digantikan dengan mudah dengan acara lain yang telah dirancang oleh kementerian pelancongan dan kebudayaan,” kata Razlan.
“Kami gagal untuk memecahkan rekod penonton walaupun ia perlumbaan F1 terakhir dan harga tiket telah dikurangkan sebanyak 82%. Pada mulanya, rungutan adalah kerana harga tiket tetapi apabila kami mengurangkan harga, jumlah penonton masih juga rendah. Saya rasa rakyat Malaysia sudah bosan dengan F1,” jelasnya lagi.
Dilaporkan seramai 110,604 peminat hadir ke Sepang Ahad lalu untuk menonton perlumbaan F1 terakhir di Malaysia berkenaan, yang akhirnya dimenangi oleh pemandu Red Bull, Max Verstappen. Rekod tertinggi jualan tiket F1 di SIC adalah pada tahun 2008 dengan 126,690 tiket berjaya dijual.
“Tunggu lagi lima tahun. Mungkin anda akan menerima berita yang mahu anda dengar. Tetapi buat masa sekarang, izinkan kami berehat,” ujar Razlan dengan nada berseloroh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.