Sekiranya melalui Jalan Pahang, Kuala Lumpur, anda akan dapat menyaksikan sebuah pusat pameran Perodua yang baru dibuka, dipanggil Perodua KL. Istimewanya pusat pameran ini, selain kenderaan Perodua baru, pelanggan juga boleh memilih kenderaan terpakai yang diiktiraf oleh Perodua sendiri.
Seperti juga Toyota Topmark dan BMW premium Selection, kenderaan Perodua terpakai (POV) ini datang dengan jaminan yang anda tidak boleh dapat pada penjual kenderaan terpakai lain. Ketenangan minda adalah kelebihan POV, dan kenderaan yang dijual datang bersama jaminan sehingga 18 bulan (untuk enjin dan transmisi).
Kereta-kereta tersebut telah diperelok dan diberikan pemeriksaan 165 bahagian oleh Perodua untuk memastikan ia bebas daripada sambungan tidak selamat. Perodua juga memberitahu tiada cas tersembunyi untuk kenderaan ini dan perlindungan insurans komprehensif Perodua Total Protect dan Auto Assist juga ada ditawarkan.
Wakil kami melawat pusat pameran tersebut dan model yang dilihat dijual di situ adalah termasuk Myvi, Axia dan Viva. Dua unit Myvi 1.3X tahun 2015 dipamerkan dengan harga RM36,500, dan terdapat juga kenderaan yang mempunyai spesifikasi asas seperti Viva 660 EX manual tahun 2014 yang dijual pada harga RM15,500 dan Axia 1.0E ‘spesifikasi sekolah memandu’ tahun 2014 pada harga RM19,000. Kelisa dan Kenari tidak dijual di sini kerana POV hanya mengambil kenderaan yang berusia sehingga tujuh tahun.
“Kami faham kereta memang diperlukan untuk bergerak, tetapi masih ramai yang tidak mampu untuk memilikinya. Perniagaan kenderaan terpakai kami menawarkan kereta yang mampu milik dengan tambahan jaminan untuk model-model terpilih,” kata pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Myvi