Sekarang ini Pameran dan Persidangan Greentech dan Produk Eco Antarabangsa (IGEM) sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dan pengeluar kenderaan elektrik dari China mengambil kesempatan untuk mempamerkan hatchback e6 mereka di sana. Buat masa ini, syarikat tersebut mensasarkan jualan secara berkumpulan, tetapi tidak bercadang untuk menawarkannya secara komersial.
Kereta ini agak besar, dengan ukuran 4,554 mm panjang, 1,822 mm lebar dan 1,630 mm tinggi. Jarak roda pula adalah 2,830 mm manakala beratnya pula 2,420 kg. Kuasa untuk kenderaan ini datang daripada motor elektrik AC yang menghasilkan sebanyak 90 kW (121 hp) dan 450 Nm tork, dan sumbernya datang daripada bateri iron-phosphate dengan kapasiti 80 kWh.
Dengan kuasa seperti ini, BYD e6 boleh mencapai kelajuan maksimum 140 km/j dan jarak pergerakan 400 km dengan sekali cas. Menurut BYD, cas penuh boleh dilakukan dalam masa bawah dua jam menggunakan pengecas 30 kW AC. Syarikat itu juga ada memaparkan carta yang menunjukkan penjimatan apabila menggunakan e6, berdasarkan pengalaman yang didapati menggunakan kenderaan tersebut sebagai teksi di Singapura.
Berdasarkan penggunaan tenaga yang didakwa berada pada tahap 26 kWh bagi setiap 100 km, dan harga elektrik 63 sen bagi setiap kWh, BYD mendakwa e6 boleh memberikan penjimatan sehingga RM39,216 dalam masa empat tahun setengah, berbanding teksi petrol biasa. Data ini adalah berdasarkan penggunaan e6 sebagai teksi di Singapura dari Disember 2014 hingga Januari 2017.
Menurut individu yang berada di tapak pameran BYD ini, mungkin tiada pelancaran komersial untuk e6 buat masa ini kerana harganya adalah lebih daripada RM200,000. Syarikat ini juga menghadapi cabaran untuk menjual kenderaan ini secara berkumpulan kerana kerajaan tidak menyediakan banyak insentif untuknya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.