Tujuh model Ford Mustang 2018 yang diubah suai khas akan dibawa ke pameran SEMA yang akan berlangsung di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat. Kebanyakan daripadanya menggunakan enjin V8 5.0 liter yang diubah suai dengan suercharger atau turbocharger, tetapi ada juga yang menggunakan enjin 2.3 liter EcoBoost.
Model pertama yang menggunakan warna putih berserta grafik jalur hijau adalah hasil daripada MAD Industries, dan model yang menggunakan enjin 2.3 liter EcoBoost ini dipasang dengan ekzos Borla, suspensi coilover, sway bar yang dipertingkat dan rim Niche Staccato 20 inci.
Seterusnya adalah hasil kerja Roush, yang keseluruhan kereta menggunakan warna hijau, bersama rim 20 inci berwarna emas. Kenderaan ini dikuasakan oleh enjin V8 5.0 liter supercharged berkuasa 729 hp dan mempunyai beberapa salur udara termasuk di atas hud. Kit badan yang digunakan adalah keluaran Roush sendiri, dan ia ditambah dengan pelbagai aksesori gentian karbon, tempat duduk Recaro dan roll-cage.
Mustang yang diubah suai oleh Tucci Hot Rods nampak ganas dengan warna kelabu dan enjin V8 5.0 liter padanya diubah suai dengan dua unit turbo, untuk menghasilkan laju maksimum sehingga 321 km/j. Pelbagai perubahan dilakukan pada kita badannya dan ia turut dilengkapi dengan suspensi udara, driveshaft dan gandar belakang G-Force, sway bar dari Ford Performance dan brek Wilwood Aero.
Sebuah lagi Mustang convertible (warna hitam) adalah hasil daripada Speedkore. Ia datang dengan motto “interpretasi moden sebuah roadster klasik Amerika” dan dilihat menggunakan cat khas dan kemasan gentian karbon, manakala enjin pula adalah unit V8 5.0 liter yang dipadankan dengan kotak gear 10 kelajuan.
Pelumba profesional terkenal, Brad Deberti turut menyumbangkan kepakaran dengan mengubah suai sebuah Mustang untuk dibawa ke SEMA. Kereta beliau mempunyai hud baru, kit badan lebar dan rim Forgato 20 inci. Enjin V8 5.0 liter supercharge yang diguna dipadankan bersama ekzos Borla dan kuasa disampaikan melalui kotak gear manual enam kelajuan. Suspensi belakang pula kini menggunakan unit daripada Watson Racing.
Mustang hasil kerja Air Design (warna perak) nampak lebih kemas, tidak begitu menonjol, tetapi masih garang. Bampar, side skirt serta diffuser pada kenderaan ini adalah baru, dan ia dipacu oleh enjin 2.3 liter EcoBoost serta dilengkapi dengan tempat duduk Recaro dan brek Wilwood.
Mustang yang menggunakan penampilan sebuah kereta polis tersebut adalah hasil daripada DRAGG yang bermaksud Drag Racing Against Gangs and Graffiti. Selain lampu serta siren, kereta ini juga direndahkan, mempunyai splitter di hadapan, rim 20 inci Velgen, salur udara Air Raid dan ekzos Borla.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.