Ducati Panigale V4 didedahkan – enjin empat silinder, kelengkapan baru, tiga variasi termasuk model terhad

Ducati Panigale V4 didedahkan – enjin empat silinder, kelengkapan baru, tiga variasi termasuk model terhad

Superbike Ducati sememangnya sudah sinonim dengan enjin V-twin dari dulu. Namun, pengeluar dari Itali tersebut telah mengambil keputusan untuk menukar format enjin ini dengan terbaru, memperkenalkan superbike yang menggunakan enjin V4 seperti motosikal dalam perlumbaan MotoGP.

Didedahkan buat pertama kali di pameran EICMA 2017, superbike baru ini ditawarkan dalam tiga variasi iaitu Panigale V4, Panigale V4 S (tambahan suspensi Ohlins, rim aluminium dan bateri lithium ion) dan Panigale V4 Speciale (terhad 1,500 unit dengan tambahan ekzos titanium, grafik khas dan barangan gentian karbon). Harga jualan masing-masing adalah £19,250 (RM106,747), £23,895 (RM132,504) dan £34,995 (RM194,057).

Walaupun luaran superbike baru Ducati ini nampak sama sahaja seperti model sports mereka sebelum ini, tumpuan patut diberi kepada bahagian enjin kerana ia adalah model keluaran awam pertama yang menggunakan enjin Desmosedici V4, dengan kapasiti 1,103 cc. Walaupun datang dari dunia perlumbaan, enjin ini masih dapat dihasilkan dengan selang servis 12,000 km (7,500 batu) dan pemeriksaan injap 24,000 km (15,000 batu). Kuasa pula adalah 214 hp pada 124 Nm tork untuk V4 dan V4 S, manakala bagi V4 Speciale, ia meningkat menjadi 226 hp.

Satu lagi keunikan enjin yang mampu menghasilkan 214 hp ini adalah putaran crankshaft terbalik. Biasanya bagi motosikal jalanan, crankshaft akan berputar sama arah seperti tayar, tetapi pada enjin baru Ducati ini, ia melawan arah bagi memberikan kelebihan pada kesan giroskopik, inertia, meningkatkan kawalan dan kelincahan.

Dengan tambahan silinder, berat enjin ini juga bertambah. Oleh itu, Ducati telah membangunkan kerangka baru untuk Panigale V4 ini, yang digelar ‘Front Frame’. Jika dibandingkan dengan kerangka monocoque, kerangka baru ini dapat mengasingkan ketegaran kilasan (torsional rigidity) dan ketegaran lateral (lateral rigidity), seterusnya dapat menyerap hentakan lebih baik. Secara keseluruhannya Panigale V4 mencatat berat 195 kg.

Bukan setakat menggunakan enjin baru, Panigale V4 ini juga datang dengan pelbagai kelengkapan elektronik, bermula dengan pilihan tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street. Ciri lain adalah termasuk ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down EVO (DQS EVO), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).

Ducati Panigale V4 didedahkan – enjin empat silinder, kelengkapan baru, tiga variasi termasuk model terhad

Semua pelarasan ciri ini boleh dilihat pada meter TFT lima inci berwarna penuh baru, yang juga dapat memaparkan pelbagai informasi lain berkenaan motosikal. Terdapat dua pilihan paparan pada meter ini, iaitu ‘Track’ yang memberikan fokus kepada penunjuk catatan masa manakala ‘Road’ lebih kepada informasi biasa bersama sambungan Ducati Multimedia System.

Secara standard, Panigale V4 datang dengan suspensi hadapan Showa Big Piston Fork (BPF) 43 mm boleh laras, monoshock Sachs boleh laras di belakang dan steering damper Sachs, tetapi bagi versi S dan Speciale, ia datang dengan fork Öhlins NIX-30, monoshock Öhlins TTX36, steering damper Öhlins dan pelarasan separuh automatik. Brek hadapan pula menggunakan angkup Brembo Stylema Monobloc baru, yang merupakan evolusi kepada angkup prestasi Brembo M50.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required