Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan ciri Honda Sensing diperkenalkan di Malaysia – berharga RM170k

Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan ciri Honda Sensing diperkenalkan di Malaysia – berharga RM170k

Honda Sensing, sebuah pakej keselamatan yang mula diperkenalkan pada model Honda CR-V 2017 untuk pasaran Malaysia Julai lalu, kini ditawarkan pula bagi sedan segmen D keluaran syarikat ini, Accord 2.4 VTi-L Advance. Ia merupakan model sedan pertama daripada Honda yang ditampilkan dengan pakej keselamatan Sensing ini.

Bagi yang masih kurang pasti mengenai Honda Sensing, ini ada serba sedikit pencerahan mengenainya. Ia merupakan sistem keselamatan yang terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu ciri bantuan pemanduan, penghindaran perlanggaran sisi serta penghindaran perlanggaran secara berdepan. Ia dikendalikan dengan menggunakan dua peranti iaitu kamera monokular yang terletak berdekatan bahagian cermin pandang belakang, serta milimeter wave radar pada bahagian depan yang terletak di bawah logo pada gril.

Bagi bantuan pemanduan, ia bertujuan untuk memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna; ia terdiri daripada Adaptive Cruise Control (ACC). ACC berfungsi untuk mengekalkan jarak serta kelajuan selamat dari kenderaan di depan, dan boleh berfungsi dalam julat kelajuan antara 30 km/j hingga 180 km/j.

Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan ciri Honda Sensing diperkenalkan di Malaysia – berharga RM170k

Untuk penghindaran perlanggaran sisi, ia terdiri daripada tiga sistem iaitu Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Keep Assist (LKAS). Bagi LDW, ia akan memberi amaran sekiranya kenderaan anda didapati semakin menghampiri garisan jalan.

Sekiranya masih tiada input dari pemandu, RDM akan diaktifkan – stereng akan digegarkan sedikit. Sekiranya masih tiada tindak balas dari pemandu, sistem akan mengawal stereng untuk mengembalikan kenderaan ke tengah. Untuk memahami situasi ini, bayangkan pemandu sedang mengantuk atau mungkin tertidur ketika memandu.

LKAS pula hadir sebagai ciri bantuan kepada pemandu. Apa yang dilakukan ialah mengekalkan kenderaan di tengah laluan di antara dua garisan putih – ia berkesan selagi kenderaan anda berada di dalam julat kelajuan antara 72 km/j hingga 180 km/j.

Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan ciri Honda Sensing diperkenalkan di Malaysia – berharga RM170k

Bagi penghindaran perlanggaran berdepan pula, dua sistem ditampilkan iaitu Forward Collision Warning (FCW) dan Collision Mitigation Braking Sistem (CMBS). FCW akan memberi amaran kepada pemandu sekiranya ia mengesan kenderaan berada dalam jarak tidak selamat dengan kereta hadapan. Sementara CMBS pula akan membrek kenderaan anda sekiranya ia menjangkakan kemalangan akan berlaku. Walaupun sistem ini mampu untuk membrek sepenuhnya, ia sebetulnya direka untuk mengurangkan impak ketika kemalangan.

Selain Honda Sensing, Accord 2.4 VTi-L (175 PS/225 Nm) masih dikekalkan dengan elemen yang sedia ada. Antaranya pedal penukar gear, lampu utama LED, lampu selekoh aktif, roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar 235/45, sistem bunyi Premium dengan subwoofer, skrin paparan pelbagai-info (i-MID) berwarna bersaiz 7.7-inci baharu dan skrin sentuh tujuh-inci bagi audio dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bagi aspek keselamatan yang lain, ia masih kekal dengan elemen sedia ada termasuk enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Honda LaneWatch, kamera belakang dengan pelbagai-sudut, Bantuan Mula Mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), dua pengesan sudut hadapan, empat pengesan sudut belakang dan cagak Isofix.

Klik untuk besarkan

Selain itu, ia turut menampilkan kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, kawalan kelajuan, cermin pandang belakang dengan anti silau, pendingin hawa dua-zon, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, soket MP3/iPod/USB/HDMI, kawalan bebas tangan bagi telefon bimbit dan pengesan suara, dan enam-pembesar suara serta roda stereng tiga-jejari balutan kulit.

Ketika ini, bagi model Accord, varian 2.0 VTi-L menjadi satu-satunya model 2.0 liter yang ditawarkan oleh Honda Malaysia; model paling asas 2.0 VTi tidak ditawarkan lagi. Jadi, Accord kini hanya ada dua varian – 2.0 VTi-L dengan harga kekal sama pada RM149,350 dan bagi varian tertinggi, 2.4 VTi-L Advance dengan Honda Sensing dijual pada harga RM169,800.

Menurut Honda, Accord mengungguli jualan kenderaan segmen D, dengan versi generasi kesembilan sudah terjual sebanyak 5,500 unit sejak September 2016. Dari jumlah itu, varian 2.4L menyumbang sebanyak 25% manakala varian 2.0 VTi-L menjadi pilihan popular, menyumbang sebanyak 61%. Model asas yang digugurkan (2.0 VTi) hanya menyumbang sebanyak 14%.

Sementara itu, bagi model CR-V, 34% pelanggan yang membeli model baharu berkenaan memilih varian tertinggi dengan ciri Honda Sensing, dan hampir 50% pemilik 1.5L Turbo membayar harga premium untuk pakej keselamatan berkenaan. Ini mungkin menjadi petunjuk positif bagi sambutan yang bakal diterima oleh Accord 2.4 VTi-L Advance.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required