Debaran kian memuncak; Perodua Myvi 2018 bakal dilancarkan esok, jadi bagi anda yang berada di rumah, pejabat mahu pun di mana jua lokasi anda, ambil peluang untuk menonton lintas langsung majlis pelancaran tersebut, eksklusif menerusi paultan.org.
Ia boleh disaksikan sama ada menerusi laman web ini, laman YouTube kami, Facebook kami atau pun laman Facebook rasmi Perodua sendiri pada jam 5.45pm esok.
Seperti yang semua maklum, Myvi adalah salah satu model kenderaan terhangat di pasaran sejak 10 tahun yang lalu. Malah kini telah melebihi 10 juta unit Myvi di kalan raya sejak generasi pertamanya dilancarkan pada Mei 2005. Justeru, kehadiran model baharunya pasti dinanti-nantikan. Bukan itu sahaja, Myvi turut mengungguli carta jualan tertinggi selama sembilan tahun berturut-turut sebelum ia ‘dicantas’ adiknya sendiri, Axia, pada tahun 2015.
Myvi baharu ini telah pun ditampilkan di khalayak umum pada 9 November lalu, namun tidak dipertontonkan sepenuhnya. Di mana ia diletakkan di dalam kotak dan hanya menampakkan sedikit bahagian hadapan dan belakangnya sahaja.
Difahamkan, model baharu ini adalah lebih panjang dan lebar berbanding Myvi sedia ada, namun garisan bumbungnya lebih rendah, yang memberikan imej lebih hatchback. Sehingga kini, Perodua masih belum mendedahkan ukuran dimensinya, namun dikatakan kabinnya lebih luas dengan ‘aturan tempat duduk lebih fleksibel 8+1’, iaitu sembilan bentangan susun aturnya, bukan tempat duduk.
Ia turut menawarkan dua pilihan enjin iaitu 1.3L dan 1.5L baharu yang cekap tenaga (EEV), lengkap dengan ciri Dual VVT-i yang dipadankan dengan sistem transmisi lima-kelajuan manual atau automatik empat-kelajuan E-AT bagi semua varian. Walaupun maklumat terperinci bagi enjinnya belum didedahkan, kami menjangkakan ia akan mewarisi enjin 1.3 dari Perodua Bezza manakala enjin 1.5L pula dari Toyota Avanza, tentunya dengan penambah baikan yang khusus untuk model baharu ini.
Lima varian ditawarkan semuanya – 1.3 Standard G (MT), 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT) dan 1.5 Advance (AT). Ditawarkan pertama kali untuk Myvi ialah ciri Eco Idle bagi tiga varian paling tinggi – di mana enjin akan mati dan hidup semula jika brek dilepaskan (dalam keadaan statik).
Turut menjadi kelebihan bagi model ini ialah ia menjadi model pertama dalam kelasnya yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia yang dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju. Sebagai contoh, varian tertinggi 1.5 Advance akan dilengkapi dengan Advance Safety Assist (ASA) – yang turut merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control. Sistem ini berfungsi melalui sebuah kamera yang terletak di belakang bahagian cermin pandang belakang.
Semua varian juga akan menerima ciri standard termasuk lampu utama LED dengan auto off dan fungsi ‘Follow Me Home’, kemasukan tanpa kunci dengan butang push start, tempat duduk belakang yang boleh dilipatkan secara 60:40 dan pengesan undur.
Bagi varian 1.3L, ia menerima empat beg udara (hadapan dan sisi), ABS, EBD dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) secara standard. Malah untuk varian 1.3 Premium X, ia juga dilengkapi dengan Eco Idle.
Untuk varian 1.5L pula, ia didatangkan dengan elemen tambahan termasuk rim 15-inci (satu-inci lebih lebar), skirting hadapan dan sisi, bampar belakang dengan dua-tona, spoiler belakang dan pembaca Touch n Go bina-dalam (cuma masukkan kad TNG anda dan gunakan lorong Smart Tag tanpa peranti). Kedua-dua varian 1.5L turut menerima enam beg udara (hadapan, sisi dan tirai). Perodua mensasarkan penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP.
Hatchback ikonik ini turut menawarkan harga yang begitu kompetitif, bermula dari RM44,300 untuk 1.3 Standard G manual dan RM46,300 untuk automatik, RM48,300 untuk 1.3 Premium X dan RM51,800 untuk 1.5 High. Model tertinggi 1.5 Advance pula dijual pada harga RM55,300. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan semua model hadir dengan pelindungan waranti lima tahun/150,000km
Perodua Myvi 1.3 Standard G
RM44,300 (MT)
RM46,300 (AT)
Hadir standard dengan:
Enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE)
1,329 cc, empat-silinder petrol
94 hp pada 6,000 rpm, 121 Nm pada 4,000 rpm (angka anggaran yang diambil dari Bezza 1.3)
Manual lima kelajuan atau Automatik empat-kelajuan E-AT
Lampu hadapan LED dengan fungsi auto off dan follow-me-home
Pelaras lampu hadapan
Lampu belakang LED dengan lampu panduan
Penderia undur
Rim aloi 14-inci
Sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin
Konfigurasi tempat duduk fleksibel 8+1
Tempat duduk belakang boleh lipat 60:40
Poket sisi (untuk telefon bimbit) pada tempat duduk hadapan
Empat beg udara (dua hadapan dan hadapan sisi)
ABS dan EBD
Kawalan Stabiliti Elektronik (VSC)
Kawalan Traction (TRC)
Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
Waranti lima-tahun/150,000 km
Disasarkan untuk mendapat lima-bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP
Perodua Myvi 1.3 Premium X
RM48,300 (AT)
Ditambah dengan:
Sistem start-stop enjin automatik Eco-idle
Kemasan luaran dan dalaman tambahan (belum didedahkan)
Pilihan warna untuk Myvi 1.3:
Ivory White (solid)
Glittering Silver (metalik)
Mystical Purple (metalik)
Lava Red (metalik)
Peppermint Green (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.3
Perodua Myvi 1.5 High
RM51,800 (AT)
Ditambah dengan:
Enjin 1.5 liter Dual VVT-i (2NR-VE)
1,496 cc, empat-silinder petrol
106 hp pada 6,000 rpm, 140 Nm pada 4,200 rpm (angka anggaran yang diambil dari Vios 1.5)
Empat-kelajuan E-AT
Ekonomi penggunaan bahan api gabungan 20.1 km seliter
Rim aloi 15-inci dua-tona
Kit badan hadapan dan skirt sisi (dua tona)
Bampar belakang dua-tona
Spoiler belakang
Pembaca tol bina-dalam (bersepadu dengan SmartTag)
Enam beg udara (dua hadapan, sisi hadapan, tirai)
Perodua Myvi 1.5 Advance
RM55,300 (AT)
Ditambah dengan:
Advanced Safety Assist (ASA)
Amaran Pra-pelanggaran
Brek automatik Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik pada kelajuan rendah)
Amaran Pergerakan Kehadapan
Kawalan Salah-operasi Pedal
Pilihan warna untuk Myvi 1.5:
Ivory White (solid)
Glittering Silver (metalik)
Mystical Purple (metalik)
Lava Red (metalik)
Granite Grey (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.5
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Did u say 10 juta myvi?