Dalam misi untuk memastikan Proton berada pada tahap global, jenama automotif nasional berkenaan kini mula menyusun semula bakat-bakat antarabangsa untuk memacu semula prestasinya. Terbaharu, Proton telah melantik Yoshiya Inamori sebagai naib presiden pembuatan, yang mempunyai pengalaman bersama Mitsubishi Motors Corporation (MMC) lebih dari 35 tahun (1982-2017).

Sebagai lepasan Universiti Kyushu di Fukuoka, Jepun dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal untuk Produksi, Inamori memulakan tugasnya di MMC sebagai jurutera pemasangan di kilang Nagoya, bertanggungjawab terhadap produk baharu yang dilancarkan. Tugas beliau melibatkan perancangan untuk proses bagi kenderaan yang diproduksi, melakar spesifikasi, membuat pesanan dan menyediakan peralatan produksi, serta membangunkan program sistem produksi.

Pada tahun 1989, beliau berpindah ke Amerika Syarikat dan ditugaskan sebagai koordinator di jabatan kejuruteraan pemasangan di kilang Diamond-Star Motor (DSM), Illnois. Setelah empat tahun bertugas disana, Inamori pulang ke Nagoya pada tahun 1993 dan kekal di kilang berkenaan sehinga tahun 2005.

Tugasnya selepas itu melibatkan pengurusan terhadap penyatuan fungsi Kejuruteraan Produksi pada kilang tersebut kepada hanya satu tempat di Okazaki. Ini membolehkan gerak kerja dan komunikasi yang lebih baik kerana fasiliti R&D yang lebih dekat. Beliau juga bertanggungjawab untuk mempertingkatkan keselamatan di kilang Nagoya berkenaan.

Dari 2005 hingga 2009, Inamori berpindah pula ke Belanda, kali ini menggalas tugas sebagai naib presiden pembelian untuk kilang Mitsubishi di negara berkenaan. Beliau menyelia kaedah pengurangan kos dan mewujudkan program pemulihan untuk keberkesanan produksi pada kilang tersebut.

Pada 2009, Inamori pulang semula ke Jepun dan dilantik sebagai ketua pegawai Projek Rusia di Mitsubishi. Ketika ini, beliau mewujudkan pasukan-pasukan bersilang fungsi (CFT) di MMC bagi melancarkan urusan komersial dan logistik antara Jepun, Perancis dan Rusia untuk produksi SKD di Rusia.

Selepas itu, beliau dilantik pula sebagi naib presisen PCMA Rus, iaitu syarikat usahasama antara Peugeot dan MMC di Russia. Tugasnya ketika itu adalah untuk menguruskan operasi keseluruhan kilang dan juga melatih 3,000 kakitangan yang tidak berpengalaman.

Walaupun berhadapan situasi sukar semasa Krisis Ukraine 2014, tugas Inamori masih lagi dilihat lancar di Rusia. Beliau mengurangkan jumlah pengeluaran pada tahun berkenaan dan terpaksa mengurangkan juga jumlah pekerjanya. Hasilnya, kilang tersebut mula menjana keuntungan semula pada tahun 2017.

Ini bukan kali pertama Inamori ke Malaysia. Ketika era kerjasama Proton-MMC, Inamori pernah ke sini 23 tahun dahulu bagi memasang kelengkapan baharu untuk barisan produksi pemasangan produk baharu. Tugasnya untuk membantu Proton ketika itu mengambil masa selama tiga bulan.

“Saya lebih suka untuk bekerja di negara luar, kerana saya telah bekerja di negara asing untuk tempoh masa yang lama. Sudah tentu, untuk saya, bekerja di Jepun adalah okay, tetapi saya sekarang sudah berumur 59 tahun, dan jika anda lihat resume saya, saya telah bekerja dengan Mitsubishi untuk sekian lama, 35 tahun. Jika saya menyambung tugas di Mitsubishi, saya akan mencapai umur persaraan.”

“Biasanya, di Jepun, apabila kami hampir tiba ke umur persaraan, kebanyakkan (orang) bekerja di Jepun, tetapi saya masih mahu untuk mencabar pelbagai lagi perkara baharu. Oleh kerana itu, saya bekerja di negara luar, ia lebih baik untuk saya. Apabila saya dicadangkan untuk bertugas di syarikat lain, saya mengambil keputusan untuk bekerja di Proton Malaysia,” katanya ketika menjawab adakah beliau suka untuk bekerja di luar Jepun.

Atas pengalamannya berada di laur negara ini juga, Inamori fasih berturut dalam bahasa Inggeris dan Rusia selain dari bahasa Ibundanya. Beliau juga seorang pemain tenis dan boleh bermain gitar akustik.