PANDU UJI: Ferrari 488 GTB – supercar mudah dijinak

PANDU UJI: Ferrari 488 GTB – supercar mudah dijinak

Walaupun sudah hampir 10 tahun berada dalam industri kewartawanan permotoran, saya masih lagi tidak pernah memandu sebuah Ferrari. Perkara ini sangat mudah difahami – kereta tersebut kebanyakannya berharga lebih RM1 juta, dan tidak mungkin pengedarnya secara mudah mahu memberikan tempat duduk pemandu kepada sebarangan orang.

Apabila duduk bersembang dengan orang yang cukup berminat dengan kerjaya saya juga, saya sering mendapat soalan sama ada pernah memandu sebuah Ferrari ataupun tidak. Apabila diberikan jawapan tidak, mereka juga tidak membalas dengan ekspresi yang pelik.

Tapi ahirnya, hari itu tiba. Saya diberi peluang oleh Naza Italia Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi kenderaan jenama ini di Malaysia untuk memandu uji model 488 GTB di atas jalan biasa. Namun, kereta ini datang bersama seorang ‘penjaganya’ yang duduk di sebelah saya sepanjang perjalanan.

Setiap model baru Ferrari yang dikeluarkan, ia pasti mempunyai kelebihan berbanding model sebelumnya. Untuk 488 GTB ada beberapa perkara yang boleh dilihat, dan sebagai permulaan untuk mereka yang kurang arif atau jarang melihat secara terperinci model-model Ferrari, model 488 GTB ini adalah pengganti bagi model 458 Italia yang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2009.

Kemudian, kita lihat pula pada namanya. 488 GTB ini membawa perubahan daripada 458 Italia, di mana 488 itu adalah membawa makna kapasiti bagi setiap silinder enjinnya (yang semuanya ada lapan), sementara 45 pada 458 adalah membawa makna 4.5 liter dan 8 itu adalah jumlah silinder. GTB itu pula bermaksud Gran Turismo Berlinetta.

PANDU UJI: Ferrari 488 GTB – supercar mudah dijinak

Secara peribadi, saya lebih menggemari bentuk 488 GTB ini berbanding beberapa model Ferrari lain seperti California T ataupun 360 Spider. Ini kerana ia nampak leper dan lebar dari depan hinggalah ke belakang, manakala pada bamparnya terdapat bukaan udara yang luas dari hujung ke hujung. Rekaan bahagian ini juga adalah satu penghargaan kepada model 308 GTB yang pernah diperkenalkan sekitar 40 tahun yang dulu.

Ferrari dan dunia perlumbaan sememangnya tidak boleh dipisahkan, dan pengalaman yang mereka perolehi, diterapkan kepada kereta produksi. Anda boleh mengalami perkara ini bermula dengan hanya melihat sahaja kereta ini, di mana setiap lekuk dan bentuk itu ada tujuannya. Yang utama adalah untuk mempergunakan udara sebagai sistem penyejuk dan daya tolakan ke bawah.

Bermula di bampar hadapan, bahagian tengah yang tertutup itu digunakan sebagai penyalur udara ke bahagian tepi, yang membawa kepada sistem penyejukan enjin. Di penjuru bampar itu pula, terdapat bahagian yang dapat menyalurkan udara ke bahagian bawah kereta, yang mempunyai penutup keseluruhan supaya ia rata kesemuanya.

Udara yang melalui bahagian tepi kenderaan ini pula dihalakan kepada satu bukaan di atas lengkuk tayar belakang, untuk melalui salur kemasukan udara ke enjin dan selebihnya keluar ke bahagian belakang. Mungkin ada yang tertanya, kenapa 488 GTB ini tidak mempunyai spoiler yang tinggi seperti kebanyakan kereta laju yang lain? Jawapannya, spoiler itu ada, tetapi ia disepadukan di bahagian belakang kenderaan. Selain udara dari tepi, udara dari atas cermin belakangnya juga dihalakan ke lubang keluar di bawah logo kuda untuk menghasilkan kesan seperti sebuah spoiler biasa.

Walaupun mungkin ada yang sudah mulai bosan dengan penjelasan ini, saya tetap mahu memberitahunya, bagi memberi gambaran betapa kompleksnya ciri sebuah Ferrari, dan itu baru di bahagian luarnya dan masih lagi belum masuk ke bahagian mekanikal. Keseluruhannya, daya tolakan ke bawah yang mampu dihasilkan adalah 325 kg pada kelajuan 250 km/j dan ini adalah 50% lebih baik berbanding 458. Apabila anda mengetahui semua ini, barulah anda dapat menghargai setiap ringgit yang dibelanjakan untuk memilikinya atau mungkin menjadikannya sebagai kereta idaman terlebih dahulu.

Tapi sejujurnya, saya cuma memerhatikan perkara ini setelah selesai sesi pandu uji, kerana semasa baru menerima kuncinya, saya sudah tidak sabar untuk duduk di kerusi pemandu bagi mengetahui apa rasanya memandu kereta yang hanya mampu dimiliki oleh orang bergelar jutawan sahaja ini.

Perkara pertama yang saya gemari adalah kedudukan yang sangat rendah, dan jika saya menghulur tangan ke luar sambil duduk, saya boleh mencapai tanah. Dari kedudukan ini juga, apa yang saya nampak di bahagian hadapan hanyalah bonjolan lengkuk tayar, namun permukaan jalan masih lagi jelas.

Walaupun 488 GTB ini adalah sebuah model dua tempat duduk, anda tidak perlu risau dengan keadaan belakang yang terhad. Saya yang berketinggian lebih 180 sm juga tidak perlu menolak tempat duduk habis sehingga ke belakang, kerana pedal minyaknya masuk jauh ke dalam. Pelarasan tempat duduk boleh dilakukan secara elektronik.

Pada mulanya, rekaan bahagian kabin 488 GTB ini mungkin nampak agak kompleks kerana terdapat banyak butang dan semuanya menghala ke arah pemandu. Tetapi, sebenarnya, ia cukup mudah digunakan dan dalam masa 10 minit memandu sahaja, saya sudah dapat membiasakan diri. Tiada tuil untuk lampu penunjuk arah atau pengelap cermin, dan semuanya adalah sama ada suis yang perlu ditekan ataupun tombol yang perlu dipusing.

Kemudiannya, setiap fungsi diasingkan di tempat masing-masing. Sebagai contoh, suis kawalan audio dan multimedia di bahagian kanan berhampiran corong pendingin hawa, suis lampu di bawahnya, suis kawalan paparan fungsi kenderaan di bahagian tengah papan pemuka, manakala di bawah sedikit, terletak pula suis kawalan pendingin hawa. Selebihnya berada pada stereng, termasuk penunjuk arah, lampu tinggi, hon, pengelap cermin, butang pemula enjin, tetapan suspensi dan unik bagi Ferrari, suis pemilih mod yang dipanggil Manettino Dial.

PANDU UJI: Ferrari 488 GTB – supercar mudah dijinak

Sebenarnya, perincian serta kemasan pada 488 GTB ini boleh diubah suai mengikut kemahuan pemiliknya. Pilihan yang diberikan cukup meluas, untuk pelbagai bahagian dan dengarnya, ia boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit. Unit pandu uji ini menunjukkan pilihan kemasan yang berpadanan, dengan bahagian yang diperbuat daripada gentian karbon berada di tempat betul, manakala warnanya juga sekata seperti warna di luar.

Enjin 3.9 liter V8 twin turbo pada 488 GTB ini juga menandakan peralihan semula Ferrari daripada enjin N/A kepada pendesak kuasa turbo. Dari tempat duduk pemandu, anda boleh melihat enjin ini melalui cermin pandang belakang, dan pastinya bagi seorang penggemar kereta, ini adalah pemandangan yang memuaskan, mengetahui anda mempunyai 670 hp dan 760 Nm tork tersedia untuk menolak anda ke hadapan.

Bunyi enjin ini sememangnya berbeza dengan bunyi enjin N/A Ferrari yang lain, di mana ia lebih padat dan tidak begitu perit. Selain itu, anda juga boleh mendengar siulan turbo serta desiran sedutan angin oleh unit turbo dari dalam kereta apabila menekan dan melepaskan pedal minyak. Bunyi ekzos pula cukup untuk menunjukkan ia adalah sebuah supercar, dan tidak begitu kuat untuk membuatkan orang biasa marah.

Walapun menggunakan tetapan dua unit turbo, Ferrari berjaya menghasilkan tindak balas tanpa sebarang kelambatan (lag) apabila pedal minyak ditekan. Badan saya melekat terus pada tempat duduknya apabila memecut, dan ia tetap sama walaupun masuk ke gear tinggi seterusnya. Selain penukaran gear automatik, anda juga boleh mengawal secara manual keseluruhannya dengan menekan butang ‘Auto” yang terdapat di terowong tengah. Butang ‘R’ yang berada berhampirannya adalah untuk mengundur dan ‘Launch’ untuk fungsi Launch Control.

Selain cukup cekap untuk berhadapan pemanduan berprestasi, kotak gear F1 Getrac klac berkembar tujuh kelajuan yang digunakan juga kekal lancar dalam pergerakan yang perlahan. Ini sekaligus melenyapkan pernyataan kereta yang berkuasa susah dipandu dalam kelajuan rendah. Jika saya cukup bertuah untuk memiliki 488 GTB ini, saya tidak akan rasa bermasalah untuk memandunya setiap hari, walaupun duduk di kawasan bandar. Ini merujuk kepada kualiti pemanduan, sementara bagi penggunaan bahan api, kalau dah mampu memiliki kereta ini, takkan lah tak mampu nak isi minyak pula kan?

Ferrari turut menyediakan tambahan kemudahan lain bagi mereka yang mahu memandu 488 GTB dalam pelbagai keadaan. Sebagai contoh, jika anda risau muncung atau bahagian badannya yang lain terseret apabila menaiki bonggol, anda boleh menekan hanya satu butang sahaja untuk menaikkan suspensi kenderaan, dan menekan butang yang sama untuk menurunkannya kembali. Selain itu, pada butang yang tertunjuk gambar penyerap hentak di stereng juga, terdapat pilihan khas untuk keadaan jalan yang beralun.

Daripada aspek prestasi, nombor-nombor yang mampu dicatat oleh 488 GTB sememangnya menakjubkan. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.0 saat, 0-200 km/j dalam 8.3 saat, 0-400 m dalam 10.45 saat dan kelajuan maksimum 330 km/j. Walaupun begitu, saya tidak rasa begitu risau untuk menekan pedal minyak kereta ini kerana tahu, ia mempunyai banyak sistem elektronik yang dapat membantu cengkaman.

Antaranya adalah termasuk E-Diff3, F1-Trac, FrS SCM-E, SSC (Side Slip Control) dan brek ABS/EBD. Pada kebanyakan masa dalam sesi pandu uji, saya meletakkan mod dalam pilihan Sport, iaitu mod standard dan dirasakan kereta cukup mantap untuk berhadapan dengan selekoh walaupun dalam kelajuan tinggi. Ke mana sahaja stereng dihalakan, ke situlah kereta akan pergi, tanpa sebarang drama. Kepuasan memandu seperti inilah yang biasanya dicari – boleh menekan minyak di selekoh dengan yakin, dan tolakan yang kuat semakin terasa pada rusuk yang disokong oleh bonjolan tempat duduk.

Seperti yang boleh dijangka, mod lain memberikan campur tangan serta tetapan berbeza untuk suspensi, kawalan cengkaman, differential elektronik dan kepantasan penukaran gear. Bagi saya, mod Sport sudah cukup memuaskan untuk menikmati kuasa sebuah supercar dalam keadaan selamat. Bahkan untuk orang biasa juga, tiada apa yang perlu dirisaukan selagi anda adalah seorang pemandu yang baik. Apabila sudah lebih berpengalaman, bolehlah pula pergi ke mod Race, CT Off atau ESC Off untuk menikmati pemanduan yang lebih mengujakan dengan tayar belakang boleh menggelungsur (drift) dan bunyi ekzos juga lebih kuat.

Ferrari 488 GTB dilancarkan di Malaysia pada tahun 2015 yang lalu, dan harganya kini adalah RM 1,068,800 bagi model asas, tidak termasuk cukai, duti barangan pilihan lain. Selain model ini, 488 juga boleh didapati dengan model bumbung boleh buka iaitu melalui model 488 Spider.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Marhaen on Nov 22, 2017 at 10:58 am

    Walaupun aku tak pernah ada ferrari dan tak pernah bawak, setahu aku, kereta ni masih dalam kategori supercar, bukannya hypercar, sedangkan Aventador SV tu pun masih supercar, apatah lg 488 GTB ni. Tapi kalau admin gtau La Ferrari tu hypercar, ye tu betul.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 1
  • this is not par with hypercar…
    this is supercar level only…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required