Infiniti QX50 baharu – imej rasmi dan perincian didedah; bakal tampil dengan enjin teknologi terkini

Infiniti QX50 baharu – imej rasmi dan perincian didedah; bakal tampil dengan enjin teknologi terkini

Infiniti telah mendedahkan QX50 baharu sebelum ia bakal dipamerkan di Los Angeles Auto Show 2017 minggu hadapan.

Model generasi kedua QX50 ini hadir dengan teknologi bertaraf dunia, rekaan yang sungguh menyerlah dan ruang dalaman mendahului kelasnya, malah mampu menandingi model pesaingnya termasuk BMW X3, Mercedes-Benz G:C dan Audi Q5.

QX50 baharu ini memiliki dimensi sepanjang 4,693 mm dan selebar 1,903 mm, iaitu 37 mm lebih panjang dan 13 mm lebih lebar berbanding SUV Mercedes-Benz saiz sederhana, satu-satunya trio Jerman yang kita telah biasa (G01 dan Q5 generasi kedua belum tiba di sini lagi). SUV buatan Jepun yang diperbuat dengan platform baharu ini juga memiliki 2,800 mm bagi jarak roda, iaitu 73 mm lebih pendek berbanding GLC. Ruang butnya juga luas, mencecah 895 liter, dan mampu mencapai 1,699 liter apabila tempat duduk belakangnya dibaringkan sepenuhnya.

SUV premium ini juga akan didatangkan dengan enjin mampatan boleh ubah yang pertama diproduksi di dunia. Enjin 2.0 liter VC-Turbo mengambil masa selama 20 tahun untuk dibangunkan (menurut pengeluar ini) dan ia menggabungkan kuasa pecutan dan kecekapan jarak jauh.

Mampu menghasilkan output sebanyak 272 PS dan tork 390 Nm, enjin VC-Turbo ini juga boleh melaraskan nisbah mampatan dari 8:1 (prestasi maksimum) ke 14:1 (ekonomi maksimum), dan boleh meningkatkan penjimatan sehingga 35% berbanding model lama yang dipadankan dengan enjin 3.7 liter NA V6.

Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik CVT, membolehkan QX50 mencapai pacuan dari 0-96 k/j dalam tempoh 6.3 saat, atay 6.7 saat bagi varian pacuan roda-hadapan, dengan kelajuan tertinggi 230 km/j. Kerangka baharu ini juga memiliki 23% ketegaran yang lebih optimum (yang sepatutnya boleh meningkatkan pengendaliannya) dan lebih 6% aerodinamik.

QX50 baharu ini juga akan didatangkan dengan teknologi bantuan pemanduan Nissan ProPILOT, yang juga ada pasa Nissan Leaf terbaharu. Bagi EV, ProPILOT ini merupakan teknologi pemanduan sendiri lorong-tunggal yang boleh mengawal jarak antara kenderaan hadapan secara automatik dengan menggunakan ketetapan kelajuan yang ditetapkan oleh pemandu (antara 30 dan 100 km/j), sementara roda stereng akan terkawal dengan sendirinya di tengah lorong.

Sistem tersebut juga akan membrek untuk berhenti, tanpa kaki pemandu diletakkan di pedal brek. Untuk menghidupkan semula sistem, pemandu hanya perlu menyentuh suis itu sekali lagi atau memijak sedikit pedal pendikit.

Kalau dilihat daripada rupanya, rekaan akhir QX50 ini bukanlah suatu kejutan yang besar, ia masih banyak menyamai model konsep QX50 tetapi telah dikurangkan sedikit bagi model produksi. Buat masa ini kami masih belum menerima foto rasmi dalaman atau luarannya, tetapi anda boleh bayangkannya menerusi foto spyshot dan konsep di bawah ini.

GALERI: Foto spyshot Infiniti QX50

GALERI: Model konsep Infiniti QX50

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required