Perodua Myvi 2018, terutama bagi model dengan enjin 1.5 liter hadir dengan senarai kelengkapan yang sangat mengkagumkan. Tentunya kita sudah sedia maklum bahawa semua variannya kini dilengkapi dengan lampu utama LED serta sistem tanpa kunci. Tetapi, bagi varian 1.5 liter, ada lagi kelebihan lain.
Misalnya, sistem Advanced Safety Assist (ASA) yang ada pada varian tertinggi 1.5 Advance. Tetapi ada satu lagi ciri menarik hanya bagi varian 1.5L sahaja ialah pengimbas atau pembaca kad Touch n’ Go yang siap dipasang pada kereta berkenaan untuk kegunaan di plaza tol elektronik seluruh negara.
Dalam bahasa mudah, bayangkan Smart Tag anda (yang memerlukan bateri 9v untuk berfungsi). Dengan ciri pengimbas kad TnG di tol ini, anda sudah boleh rehatkan peranti berkenaan; untuk Myvi 2018 1.5L, ciri ini dibina terus dalam kereta untuk kemudahan anda.
Terletak pada bahagian kanan berdekatan kedudukan atau paras lutut pemandu, ia berfungsi sama sahaja seperti Smart Tag yang pernah anda gunakan. Alat ini terlindung pada bahagian papan pemuka, dengan penutup magnetik.
Padanya ada slot untuk anda masukkan kad TnG. Ia juga hadir dengan skrin untuk memaparkan baki kad anda. Lebih menarik, jika baki berkenaan berada di bawah paras RM10, sistem akan menyeluarkan bunyi amaran untuk memaklumkannya kepada pemandu. Tetapi, berbeza daripada Smart Tag yang perlukan bateri 9v untuk bekalkan kuasa, alat ini mengambil kuasa yang diperlukan terus dari kereta.
Transmitter alat ini pula terletak di bahagian atas papan pemuka menghadap cermin utama di sebelah pemandu. Tetapi, perlu diingat, ia hanya berfungsi jika penggunaan filem penapis haba yang digunakan mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Ia juga tidak boleh digunakan pada sistem RFID.
Tetapi, ini bukanlah satu ciri baru; beberapa model di Malaysia sebelum ini sudah dilengkapi ciri yang sama. Sebagai contoh, Haval H1 (dulu dikenali sebagai Haval M4) menggunakan sistem sama, dengan transmitter diletakkan di belakang cermin pandang belakang. Toyota juga ada menawarkan ciri ini sebagai pilihan.
Untuk mengetahui lebih terperinci berkaitan penawaran Perodua Myvi 2018, ikuti laporan pelancaran yang telah kami sediakan. Tidak lupa juga laporan pandu uji ringkas yang sempat kami lakukan terhadap kereta berkenaan.
GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.