Walaupun direka dengan saiz yang lebih besar, Perodua Myvi 2018 berjaya mengekalkan beratnya pada kadar yang rendah. Untuk model 1.5 Advance misalnya, perbezaan model baharu dan lama hanyalah sekadar 35kg. Kunci utama untuk mendapatkan berat yang ideal ini adalah material yang digunakan pada pembinaan komponen-komponen kereta tersebut.
Untuk pengetahuan anda, salah satu komponen untuk mengurangkan berat pada Myvi 2018 adalah penggunaan tangki bahan api yang diperbuat dari bahan plastik. Hari ini, kilang yang membekalkan komponen tersebut kepada Perodua iaitu Sakamoto MFG Malaysia Sdn. Bhd telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Haji Ahmad Bin Haji Maslan.
Kilang yang terletak di Pusat Perindustrian Bandar Mahkota Banting, Selangor berkenaan merupakan kilang pertama di Malaysia yang menghasilkan tangki bahan api dari material plastik, di mana pengeluar yang menggunakan komponen sedemikian sebelum ini mengimportnya dari pembekal luar negara.
Di bina diatas tanah berkeluasan 22,330 meter persegi, fasiliti kilang dengan saiz 5,760 meter persegi tersebut dibangunkan dengan pelaburan sejumlah RM90 juta. Sakamoto MFG Malaysia ini sendiri merupakan syarikat yang dimiliki Sakamoto Research and Development Holdings Ltd. Japan (SRD) dengan pegangan 70%, manakala selebihnya (30%) adalah milik Azman Hamzah Plastik (AHP) dari Malaysia sendiri.
Operasi kilang ini sebenarnya telah dimulakan pada bulan Oktober tahun ini. Buat masa sekarang, kilang di Banting tersebut hanya beroperasi dengan hanya satu barisan produksi dalam satu syif, dikendalikan oleh hanya 14 orang pekerja kerana hampir 80% proses adalah melibatkan penggunaan robot automasi.
Barisan produksi ini mampu untuk menghasilkan sebanyak 250,000 unit tangki setahun, manakala permintaan untuk produk berkenaan pula adalah sebanyak 600,000 unit setahun. Oleh itu, Sakamoto telah merancang untuk menjalankan satu lagi barisan produksi yang membolehkan kilang ini menghasilkan sebanyak 450,00 unit tangki bahan api plastik setahun.
SRD di Jepun mempunyai pertalian perniagaan dengan Daihatsu dan Toyota, oleh itu untuk perancangan akan datang, Sakamoto merancang untuk membekalkan tangki bahan api plastik berkenaan kepada UMW Toyota pula – dijangka menjelang tahun 2019 kelak.
Bagi tangki yang dihasilkan untuk Myvi ini, ia menggunakan 50% bahan kitar semula (100% boleh dikitar semula ketika dilupuskan nanti). Dinding tangki dengan ketebalan 3 hingga 6 mm ini terdiri dari enam lapisan plastik yang dibentuk dari tiga material berbeza.
Berat keseluruhan tangki ini dengan pemasangan komponen lain seperti hos-hos dan juga set pam bahan api (termasuk pemasangan penderia penunjuk jumlah bahan api) adalah 6.2kg, menjadikan ia 1.5 kg atau sekitar 20% lebih ringan dari tangki bahan api logam konvensional.
Walaupun bukan elemen utama mengapa Myvi generasi baharu dapat mengekalkan beratnya yang rendah, faktanya tangki bahan api plastik ini turut menyumbang untuk mencapai sasaran tersebut. Menerusi video pandu uji yang kami jalankan terhadap Perodua Myvi 2018, model 1.5 Advance baharu berkenaan mampu memecut lebih pantas serta mencatatkan penggunaan bahan api 15% lebih baik dari 1.5 Advance versi terdahulu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.