Bas Putra NEDO EV pastinya bakal menjadi antara daya tarikan di Putrajaya selepas mula beroperasi baru-baru ini kerana ia merupakan bas berkuasa elektrik (EV) Super Quick Charge (SQC) pertama di Malaysia. Lebih membanggakan, ia dibangunkan oleh syarikat tempatan sendiri iaitu DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) yang merupakan anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM).

Projek SQC ini adalah daripada program pemindahan teknologi hasil perjanjian di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Jepun. Memorandum Persefahaman ini telah ditandatangani di antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan New Energy and Industrial Technology Development Organization (NEDO) Jepun yang diusahakan oleh konsortium dari Negara Matahari Terbit itu yang terdiri daripada Toshiba Infrastructure Systems & Solutions Corporation (pengurusan projek secara keseluruhan termasuk membekalkan bateri lithium-ion), PUES Corporation (bagi penjana kuasa elektrik), Hasetec Corporation (untuk SQC) dan Oriental Consultants Global Company Limited (bertanggungjawab dalam penilaian alam sekitar dan ekonomi).

DEFTECH juga dijangka akan menjadi hab serantau bagi pengeluaran bas SQC EV di masa hadapan. Setakat ini, DEFTECH telah diamanahkan untuk mengeluarkan 11 unit bas setingkat EV. Sebanyak lapan unit bas telah diserahkan kepada PPj manakala baki tiga unit dijadualkan akan dihantar pada tahun 2018. Namun menurut Toshiba, terdapat dua unit bas dua tingkat yang bakal dibangunkan dalam projek ini. Bas Putra NEDO EV ini dikendalikan oleh Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (Nadiputra), iaitu anak syarikat milik penuh PPj, yang menjalankan perkhidmatan di kawasan Putrajaya.

Bas SQC EV menggunakan teknologi yang berbeza berbanding bas EV lain yang beroperasi di Malaysia, dan mungkin di rantau ASEAN. Sistem Super Quick Charging (SQC) hanya memerlukan 10 minit untuk dicas sepenuhnya melalui overhead pantograph, antara setiap perjalanan iaitu mencecah purata 30 km. Kesemua bas EV ini dilengkapi dengan bateri pengecasan lithium-ion jangka hayat-panjang Toshiba’s SCiB™, yang diiktiraf memiliki kebolehpercayaan operadi dan daya ketahanan terbaik dalam apa jua kondisi.
Pastinya ia lebih pantas dan efektif berbanding kebanyakan bas komersial EV lain yang secara umumnya memerlukan tempoh semalaman untuk dicas semula (dianggarkan 6-8 jam) untuk beroperasi secara optimum.

Pengecas telah dipasang di terminal bas di stesen Putrajaya Sentral dan semua bas EV ini boleh dicas secara pantas di sana. Sugu dan status bateri serta karakteristik elektronik bas dan pengecasan sepanjang operasi akan dipantau oleh sistem IoT untuk tujuan penyelenggaraan yang efisien.

Projek Bas Putra NEDO EV ini telah dimulakan sejak Februari 2015 (termasuk fasa perancangan dan penyediaan) dan dijangka selesai pada tahun 2020. Ia menelan kos sebanyak 3.6 bilion yen (RM129,760,218.00). Ia turut mendapat sokongan penuh daripada pelbagai kementerian dan agensinya, terutamanya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan Jabatan Pengangkutan Jalan, projek ini adalah langkah pertama dalam menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai sebuah bandar hijau .