Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

Individu-individu di Reka ketika ini mempunyai sesuatu yang sangat menjanjikan untuk ditawarkan kepada industri automotif tempatan – paling tidak jika dilihat dari sudut penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang sedang dijalankan.

Sebuah syarikat kecil dengan teras kemahiran dalam bidang Artificial Intelligence (AI), ketika ini mereka antara lain terlibat di dalam peringkat awal penyediakan penyelesaian bagi sektor pengilangan; sebagai contoh, menghasilkan teknologi pada forklift untuk kegunaan dalam kawasan kilang yang tidak memerlukan pengendali.

Mula ditubuhkan sekitar 2014, syarikat ini terdiri daripada 20 orang individu yang terdiri dari latar belakang pengetahuan yang berbeza, dari sains komputer, kejuruteraan elektronik, bio-medik hinggalah ke aeroangkasa. Mereka kini memiliki dua premis operasi – pejabat pengurusan utama di Kuala Lumpur dan sebuah lagi makmal R&D di Melaka.

Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

Lebih menarik, sejak September 2016, mereka telah memulakan pembangunan teknologi berkaitan kereta tanpa pemandu yang dihasilkan sendiri – yang sudahpun menjalankan beberapa siri ujian dan demonstrasi sebenar di beberapa acara atau pameran yang mereka terlibat sama setakat ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha ini, kami duduk berbual dengan CEO Reka, Muhammad Haziq Faris Hasnol minggu lalu dan bertanyakan tentang permulaan, hala tuju serta cabaran untuk membawakan teknologi maju yang dibangunkan sendiri ini dan bagaimana untuk meyakinkan khalayak di Malaysia.

Haziq, 27, menjelaskan semua ini bermula pada awalnya dari sebuah cip elektronik yang mereka hasilkan, yang dikenali sebagai Reka Innovation Gear (RIG). “Sama seperti kebanyakan teknologi kereta tanpa pemandu lain yang ada ketika ini, sistem yang kami bangunkan juga berada dalam Tahap 3 bagi kategori pemanduan autonomous,” jelasnya.

Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

Ini bermaksud, teknologi R&D yang dibangunkan itu masih memerlukan manusia untuk memantau operasinya, tapi tidak memerlukan orang untuk duduk dikerusi pemandu dan mengendalikannya. Setakat ini, mereka telah menghasilkan tiga prototaip kereta yang dipasangkan sistem ini. Versi paling awal menggunakan sebuah Proton Waja dan mula diuji pada November 2016.

Kira-kira sebulan selepas itu, mereka melakukan ujian perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menilai sistem berkenaan; dua penumpang duduk di belakang untuk meninjau dan tanpa pemandu. Setakat yang sudah diuji, sistem berkenaan mampu mencapai keadaan operasi yang optimum pada kelajuan 60-80 km/j.

Bagi kemampuan membelok di simpang pula, ia berkesan dalam kelajuan 20-30 km/j. Sementara kemampuan membrek pula ialah dalam jarak 5-10 meter – semua ini setakat yang pernah mereka uji dan berpandukan sistem navigasi sedia ada seperti Google Maps.

Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

Kini, mereka beralih pula kepada dua Proton Perdana yang dipinjamkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Nano Malaysia – dua unit ini sering dibawa menjelajah untuk bertemu khalayak, dengan sistem yang lebih stabil dan pemasangan yang lebih kemas.

“Dari segi perkasasan atau peranti, kami menggunakan teknologi sedia ada seperti kamera (permulaan dulu hanya menggunakan dashcam untuk percubaan), sensor radar dan laser dan sebagainya. Tetapi yang membezakannya ialah perisian pintar yang kami bangunkan,” tambah Haziq. Dalam bahasa mudah, teknologi tanpa pemandu sudah ada di sini, dan dibangunkan oleh warga tempatan sendiri, walaupun mungkin masih perlu diperkemaskan serba sedikit untuk produksi.

Bergerak ke hadapan, apa yang ingin dicapai dengan teknologi yang dibangunkan ini? Haziq menjelaskan, tentunya mereka ingin menjadikannya sebagai produk komersial, mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi. “Tetapi, daripada maklum balas beberapa pengeluar dan agensi kerajaan yang sudah kami temui, rata-rata tidak menunjukkan minat seperti yang diharapkan terhadap potensi teknologi yang dibangunkan sendiri di Malaysia ini,” jelas Haziq.

Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

Yang dimaksudkan adalah untuk menjalin usaha sama dalam memperkemas dan mempertingkatkan kemampuan teknologi yang sudah ada ini, atau paling tidak untuk membantu mempatenkan hasil kerja ini agar ia menjadi satu produk yang hakciptanya dimiliki oleh syarikat Malaysia. “Walaupun begitu, kami ada menerima tawaran dari pihak luar yang berminat untuk menjalin kerjasama serta melanjutkan pembangunan teknologi ini, antaranya dari firma di Singapura dan Australia.” tambahnya.

Tetapi, buat masa ini, mereka agak keberatan untuk memilih jalan itu, disebabkan syarat yang dikenakan misalnya oleh firma Singpura berkenaan adalah mereka perlu memindahkan pusat operasi ke sana serta paten terhadap rekaan yang dibangunkan juga akan berpindah tangan.

“Kami tidak menolak tawaran pihak luar yang ada, tetapi dalam tempoh setahun-dua ini kami akan cuba bertahan dan mencari jalan untuk menyumbang tenaga dan kemahiran dalam negara sendiri. Kalau masih tak berhasil, barulah kami akan pertimbangkan untuk terima tawaran dari pihak luar negara,” jelasnya.

Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

Melihat kepada usaha besar yang dilakukan oleh Reka dengan sumber yang agak terhad serta visi yang ada, tentu ada yang tertanya-tanya latar belakang CEO muda ini. Haziq sebelum ini pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge, UK dalam bidang sains komputer. “Tetapi saya tidak menghabiskan pengajian ketika itu kerana menerima tawaran kerja dari Google di Amerika Syarikat,” jelasnya.

“Kemudian saya kembali ke Malaysia dengan hasrat untuk menyumbang tenaga dan kreativiti di tanahair sendiri. Jadi, setahun-dua sebelum mendirikan Reka Studios, saya pusing satu Malaysia – berdasarkan khabar angin – untuk mencari dan berjumpa dengan individu-individu dengan kepakaran berbeza yang berkongsi impian yang sama,” ujar Haziq.

Perjalanan itu telah berhasil menemukannya dengan mereka yang menjadikan Reka Studios seperti hari ini. “Antara yang bersama kami ketika ini misalnya seorang jurutera aeroangkasa tempatan yang sempat menimba ilmu bersama NASA di AS dahulu, dan juga individu yang bertanggungjawab membangunkan perisian face detection pada kamera Samsung,” tambah Haziq lagi, yang yakin kepelbagaian kepakaran ini yang menjadi kelebihan untuk mereka.

Semoga anak-anak muda ini berhasil mengharumkan nama negara suatu hari nanti dan menjadi inspirasi untuk ramai orang – dan tentunya Malaysia boleh menikmati teknologi kereta tanpa pemandunya sendiri yang boleh dibanggakan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • azhar on Dec 05, 2017 at 2:39 pm

    negara luar tunjuk minat, agensi kerajaan dlm negara sendiri tak minat…nanti bila dah berjaya, menggelabah nak claim credit…puuuiiii

    Like or Dislike: Thumb up 38 Thumb down 2
    • Zul Helmi on Dec 09, 2017 at 1:32 pm

      Biasa la tu bro… Typical Malaysian businessman / potential investors.

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • farrisaziz on Dec 09, 2017 at 8:36 pm

    berdasarkan pendapat individu…klo bole cer kerjasama dengan syarikat proton(geely holding) untuk mempertingkatkan quality percubaan kenderaan separuh robot(ai)…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Hebat. Proton dan perodua takkan tido kot?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required