Porsche telah memiliki beberapa barisan model 911, dan baru-baru ini CEO Porsche Oliver Blume berkata, “adalah lebih penting bagi 911 untuk menerima penjana kuasa plug-in hybrid.”
Menurut laporan Automotive News, 911 generasi seterusnya yang dirancang bakal mula dijual pada 2019, namun versi plug-in hybrid bagi kereta sport ini hanya akan menyertai barisan ini semasa proses kitaran pertengahannya yang bakal dipertingkatkan. Mungkin dalam empat tahun lagi apabila model 911 yang seterusnya diperkenalkan, tahun 2023 barangkali.
“Kami akan tampilkan plug-in hybrid dengan generasi bateri akan datang dan langkah evolusi yang seterusnya,” ujar Blume memberitahu syarikat penerbitan berkenaan. Walau bagaimana pun, keputusan akhirnya belum dimuktamadkan, tetapi “ia pendapat saya yang kita akan mendapatkannya,” ujarnya.
Sebelum ini, jurucakap Porsche memberitahu teknologi yang bakal digunakan pada 911 seterusnya akan membolehkan integrasi bagi penjana kuasa elektrik dan syarikat berkenaan buat masaini masih tidak memperincikan semua pilihan, terutamanya berkaitan dengan spesifikasi enjin. Malah sumber dalaman syarikat juga pernah mengesahkan tentang elektrifikasi 911, dalam bentuk prototaip.
Blume mensasarkan untuk integrasi sistem bateri 47 Ah bagi 911 plug-in hybrid ini, di mana ia boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 69 km dalam pengecasan penuh, maka jurutera di Porsche bekerja keras untuk membangunkan teknologi bateri generasi seterusnya. Seperti yang Blume katakan, “potensi lebih bagus dengan bateri generasi seterusnya ini.”
Kalau dah mula bercerita mengenai plug-in hybrid, bagaimana pula dengan 911 EV? Mungkin dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang. Kita beri peluang untuk Porsche mengembangkan teknologinya setaraf dengan keperluan dan kehendak semasa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.