Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

Dalam dunia motosikal kustom di Malaysia, nama Omar Jumiran, dan jenamanya, Eastern Bobber bukanlah lagi satu nama asing. Individu yang dulunya cuma tukang kimpal pagar di bawah rumah ini mula berjinak dengan dunia motosikal kustom selepas merasakan beliau perlu meluahkan daya kreativiti dan imaginasi melalui kepakaran besi yang ada pada tahun 2009.

Antara hasil kerja beliau yang mendapat perhatian ramai sebelum ini ialah motosikal Batman yang menelan kos belanja puluhan ribu ringgit, yang walaupun mahal, memberi kepuasan yang tiada tanding bagi Omar dalam menempuhi cabaran untuk memastikannya berfungsi dan kelihatan elok. Tahun demi tahun, hasil kerja Omar semakin baik dan beliau dapat dikenali dengan keunikan yang tersendiri.

Baru-baru ini sekali lagi Omar membuat kejutan apabila menjuarai pertandingan motosikal binaan khas di Malaysia mengalahkan tujuh lagi pembina lain, dan sebagai hadiah, beliau terpilih mengikuti satu perjalanan yang dibiayai sepenuhnya untuk bertanding di AMD World Championship of Custom Bike Building. Juri yang memilih Omar sebagai pemenang menghargai nilai kejuruteraan yang ada pada motosikal buatan beliau yang dinamakan sebagai Bone X ini.

Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

Bagi yang belum mengetahui, AMD World Championship merupakan pertandingan tertinggi dalam dunia motosikal kustom peringkat global, dan peluang ini sudah menjadi idaman Omar sejak dulu lagi. Sehinggakan apabila dikenang kembali, pada tahun 2012, Omar berhijrah ke Amerika Syarikat, dan memulakan bengkel di sana; semuanya adalah untuk tujuan itu. Walaupun pada waktu itu beliau kurang berjaya, tetapi kini hasratnya tercapai, dengan bermula dari kemenangan di negara sendiri juga.

Menurut Omar, hampir 90% bahagian motosikal ini dibuat dengan tangan, dan selebihnya melibatkan bahagian enjin dan bahagian-bahagian kecil lain seperti tayar dan pam brek. Inspirasi motosikal ini datang daripada seorang pembina dari Jepun, iaitu Chicara Nagata, namun Omar mempunyai cara tersendiri untuk meningkatkan kualiti serta nilai kejuruteraan pada motosikalnya.

Sememangnya, hasil kerja Omar bukanlah sesuatu yang mudah difahami orang biasa. Tapi, itu sudah jadi tanda unik Omar. Beliau bukan seorang yang mementingkan grafik meriah, panel badan berbentuk-bentuk ataupun ubah suai mudah dengan mengganti beberapa bahagian motosikal sahaja, tetapi lebih gemarkan cabaran kejuruteraan dan rekaan yang luar daripada kebiasaan.

Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

Anda tengoklah sendiri Bone X ini, sekali pandang, mungkin ada yang tidak dapat menangkap mana bahagian depan dan mana bahagian belakang. Memang itu tujuan Omar; kedua-dua bahagian menggunakan rim 21 inci, dan ibarat terdapat cermin di bahagian tengah yang membahagikan dua bahagian motosikal ini.

Selain warna krom yang berkilat, tumpuan utama pada motosikal ini adalah dua spring yang terletak di bahagian paling atas, yang sebenarnya berfungsi sebagai penyerap hentak, satu untuk tayar hadapan dan satu untuk tayar belakang. Bagaimana pula ia boleh jadi begitu? Inilah sebenarnya satu rekaan yang Omar dakwa sebagai yang pertama di dunia dan dibangunkan sendiri oleh beliau.

Untuk menyampaikan hentakan daripada setiap roda kepada spring tersebut, beliau menggunakan penyambung dan lengan ayun yang tegak ke atas, manakala di bawah pula terdapat satu lagi lengan ayun untuk memegang tayar tersebut. Untuk mendapatkan kadar spring yang betul, hampir empat kali Omar menukar spring tersebut dan perkara yang lebih mencabar adalah untuk tayar hadapan kerana ia perlu berpusing ke kiri dan kanan, serta perlu mempunyai sedikit kecondongan (rake). Semua lengan ayun ini juga dibuat sendiri oleh Omar menggunakan tangan, dan bukannya mesin CNC.

Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

Malah menurut Omar lagi, lengan ayun inilah bahagian pertama yang beliau miliki untuk memulakan projek Bone X dan ia sudah berada dalam simpanan Omar sejak tiga tahun yang lepas. Lukisan kasar projek ini pula sudah bermula sejak tahun 2012, sewaktu Omar bekerja di Abu Dhabi dan mempunyai banyak masa lapang di waktu malam.

Melihat kepada bahagian enjin pula, unit yang digunakan oleh Omar adalah enjin klasik AJS Motorcycle satu silinder berkapasiti 350 cc dari tahun 1967, dan keistimewaan enjin ini, ia mempunyai silinder yang panjang dan memberikan bunyi unik tersendiri. Kotak gear pula adalah unit tiga kelajuan dengan klac jenis kering (dry clutch).

Keistimewaan lain enjin ini adalah ia mempunyai kedudukan gear dan brek kaki yang terbalik berbanding kebanyakan motosikal masa kini, dan Omar mahu mengekalkan keadaan itu. Jadi, apabila anda lihat tuil kaki di setiap sisi Bone X, yang berada di sebelah kanan adalah untuk menukar gear, manakala yang di sebelah kiri adalah untuk brek belakang.

Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

Kemudiannya, dari kotak gear, untuk menyampaikan kuasa ke tayar belakang, ia menggunakan sistem pacuan rantai yang berada di sebelah kiri. Tetapi, Omar tidak begitu menggemari keadaan itu, kerana beliau mahukan pandangan sisi untuk bahagian hadapan dan belakang adalah sama. Bermaksud, beliau tidak mahu rantai yang berada di sebelah kiri ‘mengganggu’ penampilan rim. Oleh itu, rantai ke tayar belakang dialih ke sebelah kanan.

Ubah suai bahagian itu sahaja bukanlah sesuatu yang mudah. Omar perlu memikirkan kekuatan syaf yang berpadanan supaya dapat bertahan dengan daya kilas yang kuat, serta mekanisme pelarasan rantai. Pastinya, semua itu sudah berada dalam kira-kira Omar, dan jika anda mempunyai mata yang tajam, anda akan dapat melihat pelaras itu terdapat di lengan ayun belakang serta pemegang syaf yang menyampaikan kuasa dari sebelah kiri ke sebelah kanan.

Melihat kepada bahagian atas motosikal ini, berhampiran dua spring tersebut, anda boleh melihat ada dua skru besar, yang sebenarnya apabila dibuka, adalah tempat untuk mengisi minyak. Satu adalah untuk minyak enjin, dan satu lagi adalah minyak petrol. Untuk petrol, kapasitinya cumalah 0.9 liter. Ia tidak memerlukan tangki yang besar kerana sekadar sebuah motosikal pameran.

Untuk minyak hitam, enjin ini menggunakan sistem perjalanan minyak hitam di luar enjin, dan ia disuntik di bahagian yang perlu sahaja, dan takungnya juga berada di luar motosikal. Sistem ini sebenarnya juga masih digunakan untuk beberapa motosikal baru, dan takungnya dipanggil sebagai ‘oil bag’. Cuma, Omar telah mengubah suai untuk menjadikan rangka itu sendiri adalah oil bag bagi minyak enjin.

Satu lagi rekaan yang dihasilkan oleh Omar sendiri adalah tongkat tengah yang boleh ditarik dengan tangan. Omar pertama kali melihat mekanisme ini semasa di Abu Dhabi, tetapi itu adalah untuk tongkat tepi, dan beliau memperbaiki rekaan tersebut untuk digunakan sebagai tongkat tengah. Lagipun, menurut beliau, motosikal ini nampak lebih selari apabila duduk di atas tongkat tengah. Perkara itu memang betul, tapi saya lebih kagum dengan betapa banyaknya perkara yang perlu difikir hanya untuk menghasilkan tongkat tengah.

Omar juga ada meletakkan tanda unik Malaysia pada motosikal ini. Sebagai contoh, tempat duduk serta pemegang motosikal ini mungkin nampak seperti rekaan berpetak biasa bagi sesetengah orang. Tapi sebenarnya, ia adalah besi yang dianyam, dan kemudiannya dibentuk. “Besi yang dianyam”… bunyinya sahaja sudah luar biasa, dan bayangkan pula betapa susahnya Omar membuat bahagian itu, terutamanya yang digunakan untuk bahagian pemegang.

Rasa-rasa anda berapa lama yang diambil oleh Omar untuk menyiapkan Bone X ini? Satu tahun? Dua tahun? Tiga tahun? Jawapan sebenarnya adalah cuma sekitar enam bulan sahaja. Omar memulakan projek ini lepas Hari Raya Aidilfitri lalu, dan akhirnya berjaya disiapkan penghujung bulan November 2017. Beliau berusaha sehabis boleh kerana tahu ini adalah peluang terbaik untuk memenangi tempat ke AMD Championship. Dan ya, Omar berjaya.

Tetapi, beliau masih belum berpuas hati dengan motosikal yang ada sekarang, terutamanya kemasan akhir dan perincian. Demi memastikan beliau ke sana dengan harapan untuk menang, dan bukannya sekadar membuat penampilan, beliau akan membuka semula motosikal ini untuk diperelok. Beliau juga sedang mencari penaja kerana kos dijangka akan bertambah.

Antara bahagian yang akan diperbaiki oleh Omar adalah termasuk rim, serta seperti yang dikatakan tadi, perincian akhir permukaan besi motosikal ini. Namun apa yang pasti, Omar akan mengekalkan penggunaan warna krom ataupun warna asal besi dengan lapisan cat jernih. Beliau tidak mahu juri terganggu dengan cat yang meriah dan mahukan mereka lebih melihat kepada aspek kejuruteraan motosikal ini.

Begitulah kisah Omar dan Bone X, yang akan menjadi pembina motosikal pertama dari Malaysia yang akan menjadi wakil kita ke pertandingan tertinggi motosikal kustom dunia di Jerman tahun depan. Harapannya nanti, Omar akan berjaya membuktikan Malaysia juga mempunyai pembina motosikal yang berkualiti dan boleh disegani di mata dunia. Saksikan juga video di bawah yang menunjukkan bunyi Bone X serta sebagai bukti motosikal ini memang boleh beroperasi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required