Selepas memperkenalkan Porsche Macan GTS pada Jun lalu, Sime Darby Performance (SDAP) telah melancarkan pula Macan SportDesign Series bagi pasaran Malaysia. Tampil dengan imej yang penuh bergaya dan sporty, Macan SportDesign Series ini didatangkan dengan dua pilihan warna luaran iaitu Volcano Grey Metallic dan Carrara White Metallic.

Bahagian luarannya diserikan dengan imej hadapan yang lebih dinamik dengan jaluran kelabu bersama garisan merah secara menegak memberikan gaya yang lebih sporty, ditambah pula dengan padanan lampu utama hitam LED serta Porsche Dynamic Light System (PDLS+),skirt sisi, rel bumbung dan roda bersaiz 21-inci menambahkan imej yang garang bagi SUV mewah ini.

Malah rimnya juga hadir dengan dua pilihan iaitu 911 Turbo Wheel dengan rekaan pelbagai-jejari serta Sport Classic Wheel dengan kekemasan hitam berkilat. Melewati bahagian belakangnya pula, padanan lampu LED dan corong ekzos dengan kekemasan hitam berkilat yang cukup sporty turut menjadi pilihan.

Menjengah bahagian kabinnya pula, imej yang penuh sporty, mewah dan elegen menjalari segenar ruang. Kabin Macan SportDesign Series didominasi dengan kombinasi kulit hitam dan Garnet Red. Malahan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan turut disertakan dengan larasan berkuasa 14-hala bersama fungsi memori.

Menambahkan lagi sifat sporty, skim warna Garnet Red turut digunakan pada elemen rekaan yang lain termasuklah jahitan kontras, tali pinggang keledar, kluster instrumen dan Sport Chrono stopwatch. Melengkapkan lagi elemen kemewahannya pula, ia turut didatangkan dengan Sistem Bunyi Sekeliling Bose bersama 14-pembesar suara dan 545 watts bagi memberikan pengalaman audio yang lebih sofistikated.

Lain-lain elemen yang turut disertakan termasuklah suspensi udara dengan sistem keserataan, dan larasan ketinggian pengendalian termasuk Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Sport Chrono Package.

Bagi mekanikalnya, penjana kuasanya adalah sama seperti model asas Macan iaitu dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac PDK tujuh-kelajuan dengan menyalurkan kuasa ke semua rodanya.

Dengan gabungan penjana kuasa ini, ia mampu menghamburkan output sehingga 252 hp antara 5,000 hingga 6,000 rpm dengan puncak tork sehingga 370 Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm. Sekaligus membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 229 km/j.

SDP turut memaklumkan bahawa Macan SportDesign Series ini hanya didatangkan dengan sejumlah 40 unit sahaja dan dijual pada harga RM545,000 (tanpa cukai jalan dan insurans) seunit. Ia turut didatangkan dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma.

Tags: