Walaupun Honda kini telah beralih kepada teknologi Earth Dreams dengan memfokuskan penggunaan pengecas turbo bagi menghasilkan pembakaran yang efisien, jenama ini sebenarnya masih lagi dibayangi imejnya pada era 90’an, iaitu sebagai pembina enjin produksi tanpa apa-apa pendesak dengan kuasa yang mengkagumkan – dikenali sebagai enjin DOHC VTEC.

Selain dari enjin generasi terakhir dari siri-K, enjin yang popular untuk teknologi Variable Valve Lift and Timing Electronic Control berkenaan tentulah dari siri-B yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1989 menerusi model Integra DA6. Walaupun enjin siri ini direka hingga kapasiti 2.0 liter (B20), namun yang diberikan kepala silinder dengan teknologi DOHC VTEC hanyalah pada enjin B16 (1.6 liter), dan B18 (1.8 liter).

Dari segi usia, teknologi enjin siri-B tersebut sudahpun hampir tiga dekad, namun pengubahsuaiannya seakan tidak berkesudahan dan masih lagi sangat popular hingga saat ini. Selain dari laju, enjin yang dikenali dengan dua karekter (macam enjin biasa ketika dipandu secara normal, berubah menjadi seperti enjin perlumbaan sebenar jika sistem VTEC pada mod ‘on’) ini juga sangat tahan dan boleh dipandu sebagai kenderaan harian jika diubahsuai dengan betul.

Ini antara faktor mengapa Muhammad Shafarin Harun dari Pulau Pinang memilih DOHC VTEC sebagai permainannya. Dia mula yakin dengan enjin ini setelah diberi peluang untuk memandu uji sebuah Civic EF hatchback oleh kawannya dengan enjin B16A selama seminggu berserta ayat “hang bawaklah kereta ni macam manapun, tengok dia punya tahan macam mana”.

Selepas dari itu Shafarin tidak lagi memandang kereta lain dan menukar Proton Iswara miliknya ketika itu dengan sebuah Civic EF hatchback juga, dijana enjin B16A. Namun setelah umur meningkat, badan hatchback berkenaan perlu ditukar kepada sebuah kenderaan yang lebih praktikal, membuatkan dia memilih untuk membeli sebuah Honda Civic EJ6 sedan empat pintu yang kini telah bersamanya selama lebih empat tahun.

Tidak seperti EF yang dibeli siap dengan enjin DOHC VTEC, EJ ini dibeli dalam keadaan standard bersama enjin D15 1.5 liter VTEC SOHC. Maka bermulalah kehidupan Shaharin sebagai peneroka kedai-kedai halfcut untuk melengkapkan kereta yang baru dibeli ini.

Perkara pertama yang dilakukan adalah memadankan set halfcut lengkap bahagian hadapan Civic EK9 Type R dari Jepun pada badan Civic EJ yang dipasang di kilang Oriental Assemblers, Jalan Tampoi di Johor Bahru berkenaan. Segala peralatan yang boleh dipindahkan dari halfcut Type R spesifikasi tahun 2000 tersebut yang boleh dipadankan secara plug and play telah dipindahkan – termasuk papan pemuka, tempat duduk Recaro asli, karpet utama dan juga kesemua karpet alas kaki.

Ya, enjin B16B Type R ini turut disumbatkan sekali menggantikan enjin ‘VTEC bujang’ asal, tetapi ia tidak lagi dalam keadaan asal. Enjin berkenaan telah dileraikan terlebih dahulu, kemudian set peralatan ‘perang’ lengkap dari Toda dipadankan – merangkumi aci engkol dan set lengkap omboh.

Kepala silinder enjin ini juga dirombak semula bagi membolehkan ia menyedut udara yang lebih banyak ke kebuk pembakaran. Kesemua liang injap telah menerima proses port and polish peringkat ketiga, manakala aci sesondol pula ditukar kepada unit dengan durasi lebih tinggi berjenama Toda dari siri C2 yang digerakkan oleh cam pulley juga dari Toda.

Siap bahagian dalaman enjin, kelengkapan luaran pula diperkemaskan semula. Untuk membawa udara ke liang kemasukan, Shafarin menggunakan intake manifold dari Blox Racing yang dikahwinkan dengan throttle body lebih besar dari S90. Tiada sistem air intake normal pada enjin ini di mana penuras udara disumbat terus pada mulut throttle body.

Untuk sistem ekzos pula, ia menerima custom header dari keluli tahan karat dan diakhiri dengan muffler dari J’s Racing. Bagi melaras semula talaan udara-bahan api yang tentunya telah berubah dengan pelbagai ubahsuai drastik ini, Shafarin masih lagi menggunakan kotak komputer asal tetapi cip utamanya telah ditukar kepada cip dari Hondata siri S300.

Seperti yang anda boleh lihat pada gambar, enjin ini diletakkan pada ruang yang begitu selesa dan kemas berwarna biru. Ia duduk dengan menggunakan set cagak enjin lengkap dari Hasport, manakala sistem pendawaiannya pula boleh dikatakan telah disorokkan hampir keseluruhannya. Rocker cover enjin telah disalut dengan krom keemasan, manakala perincian kecil lain seperti hos-hos biru dari Samco serta ‘stokin’ Spoon yang membalut reservoir bendalir brek dan klac turut menambahkan seri ruang ini.

Setelah berhabis begitu banyak duit pada enjin, Shafarin tidak teragak untuk membawa keretanya ke mesin ujian dyno untuk mengetahui sama ada pelaburannya ini berjaya atau tidak. Hasilnya, skrin dyno menunjukkan angka 220 hp – jauh lebih besar dari angka asal Civic Type R EK9 yang mampu menjana 180 hp.

Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lima-kelajuan manual asal EK9 Type R, bersama klac dari Ogura Racing serta LSD heliks standard model berkenaan. Bagi memastikan badan kereta ini dapat dikendalikan lebih baik dari sebelum ini, sistem suspensi turut dinaik taraf.

Kesemua sudut hab roda kini diberikan set suspensi lengkap boleh laras tinggi/rendah dan keras lembut dari GAB. Manakala untuk sistem suspensi bebas belakang pula, lengan bawah asal telah digantikan dengan lengan aftermarket asli berjenama Function 7, bukan sebarangan komponen cap ayam yang boleh dibeli dari kedai aksesori.

Manakala untuk roda pula, Civic ini menerima rim Enkei RPF1 berwarna hitam dengan tayar semi-slick Yokohama Advan AD05, manakala belakang pula dipadankan dengan rim Mugen MF10 dengan tayar Bridgestone Potenza RE003. Walaupun dari jenama berbeza, kesemua rim dan tayar ini adalah sama dari segi saiz iaitu 15-inci untuk rim dan 195/55R15 untuk tayar. Kenapa pakai tayar semi-slick? Walaupun Civic Shafarin ini nampak macam show car, tetapi hakikatnya beliau agak aktif berlumba drag.

Bahagian luaran, kereta ini banyak menerima peralatan aftermarket untuk EK9 Type R. Bampar hadapan asal telah digantikan dengan unit dari C-West, manakala fender dan bonet pula dipadankan dengan komponen yang diperbuat dari gentian karbon masing-masing dari Spoon dan Shift Sport bagi mengurangkan berat keseluruhannya.

Bumbung EJ ini pula diberikan bumbung suria yang diambil dari Civic EG, manakala lampu belakang ditukar kepada EK sedan spesifikasi tahun 1999 bersama bampar belakang Civic EK Domani yang telah dikerat pada bahagian bawah. Bahagian belakang juga turut menerima komponen gentian karbon iaitu pada kedua-dua pintu belakang dan penutup but belakang. Untuk keseluruhan panel badan lain pula, kereta ini menerima warna oren yang cukup menyerlah.

Selain dari komponen original Type R, bahagian dalaman sedan ini turut diberikan berberapa peralatan aftermarket antaranya meter tiga serangkai dari GReddy yang memberikan bacaan tekanan dan suhu minyak pelincir serta suhu air, dan juga roda stering Momo Competition lengkap dengan quick release bosskit.

Manakala untuk panel dalaman pintu, komponen asal telah ditukar kepada unit yang diambil dari Civic EK4 JDM, manakala tempat duduk belakang pula ditukar dengan menggunakan tempat duduk dari Integra DB8.

Jika anda menyemak laman-laman jualan kereta terpakai, anda tentu perasan kereta yang diproduksi dari tahun 1996 hingga 1999 ini masih lagi bernilai antara RM15k hingga RM40k, bergantung kondisi serta ubahsuai. Mengapa ia masih lagi mahal? Kereta Shafarin ini antara jawapannya – masih lagi cantik, laju, dan komponen gantian serta aftermarket yang mudah untuk didapati walaupun berumur lebih 20 tahun.

Ditanya berapa lama lagi dia akan menggunakan kereta ini, Shafarin menjawab dia tidak akan menjualnya pada masa terdekat kerana memang tidak balik modal. Ini kerana pelaburan yang dikeluarkan untuk projek yang hampir semua dilakukan oleh MH JDM Autopart ini cukup untuk membeli sebuah Perodua Myvi 1.5 Advance 2018 secara tunai.

Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada farid@driven.com.my. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu.