Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin akan berlumba dalam pasukan baru Petronas Sprinta Racing bermula musim hadapan, dan pasukan ini diuruskan bersama oleh Sepang International Circuit (SIC).
Mengulas lebih lanjut berkenaan perkara ini, ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali memberitahu New Straits Times bahawa sekiranya Hafizh berjaya mencapai KPI lima tempat teratas secara keseluruhan pada musim hadapan, SIC boleh membantu membawa beliau ke kategori MotoGP pula seterusnya.
Razlan memberitahu lagi, sekiranya perkara itu berlaku, beliau sudah nampak pasukan mana yang berpotensi untuk Hafizh. Sementara pasukan Repsol Honda, LCR Honda, Movistar Yamaha dan Yamaha Tech 3 masing-msing semua sudah ada pelumba untuk sehingga tahun 2019, beliau seterusnya melihat kemungkinan kepada pasukan Suzuki Ecstar dan Ducati.
Walaubagaimanapun, Razlan memberitahu New Straits Times lagi bahawa beliau lebih senang bekerjasama dengan pasukan Jepun kerana beberapa sebab. Antaranya adalah beliau dapat mengkomersialkan pasukan Malaysia melalui pasukan Jepun dengan lebih baik.
Berkenaan penubuhan pasukan SIC sendiri dalam MotoGP, Razlan memberitahu masih belum mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk berbuat sebegitu, sebaliknya cara terbaik untuk masa ini adalah dengan meletakkan pelumba dalam pasukan yang sudah ada seperti yang dilakukan melalui Zulfahmi Khairuddin sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.