Enjin turbo sering dikaitkan dengan penghasilan kuasa yang dan tork yang tinggi, namun letusan kuasa berkenaan diberikan pada takat rpm yang tidak tinggi seperti enjin NA. Namun, jentera yang didedahkan oleh video terbaharu fullboost Australia ini menyajikan sesuatu yang berbeza iaitu sebuah Subaru Impreza bernama Betty yang dibina oleh pakar WRX – GotitRex – dijana enjin boxer turbo yang mampu menjerit hingga 12,000 rpm!
Untuk pengetahuan anda, Betty bukanlah Impreza WRX sebenar, sebaliknya hanya sebuah Impreza LX keluaran tahun 1994 yang pada asalnya dijana enjin EJ16 boxer empat silinder 1.6 liter, tanpa turbo mahupun sistem pacuan semua roda. GotitRex telah menyumbat enjin yang kini dalam peringkat R&D pada Betty iaitu enjin boxer turbo dari juga siri EJ (tidak dinyatakan sama ada EJ20 atau EJ25).
Menurut fullboost, bagi membolehkan enjin ini meraung pada rpm tinggi, GotitRex telah memendekkan strok asal pada omboh enjin berkenaan (lagi sekali, spesifikasinya tidak didedahkan). Ia kemudiannya disuap dengan pengecas turbo Garrett GTW 3884 Gen 1 yang ditala dengan boost setinggi 2.9 bar (42 psi).
Enjin ini kemudiannya ditala semula dengan unit pengurusan enjin Link dari siri G4, dan boleh beroperasi dengan bahan api ethanol E85. Hasilnya, enjin berkenaan menunjukkan bacaan kuasa kuda lebih dari 600 hp (pada roda, bukan pada aci engkol) di skrin mesin dyno.
Tiada kotak gear perlumbaan atau sequential diberikan pada Betty, di mana kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear manual lima-kelajuan asal Subaru, bersama unit-unit LSD dari Cusco. Dengan takat rpm enjin yang begitu tinggi, padanan ini membolehkan Betty mencapai kelajuan 225 km/j hanya pada gear 3. Walau bagaimanapun, sistem transmisi ini dijangka bakal dirombak semula pada masa hadapan.
Bukan sahaja enjin, malah Betty sendiri masih lagi dalam peringkat R&D. Oleh itu anda boleh lihat penampilan luaran dan dalamannya masih lagi seperti sebuah Impreza LX standard tanpa kit badan agresif, dan pemandu masih lagi duduk diatas tempat duduk asal.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.