Sempena cuti panjang perayaan Krismas minggu ini, Lebuhraya PLUS mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bertujuan mengelakkan “pertembungan” kenderaan yang menggunakan lebuhraya kelolaan syarikat itu dalam satu-satu masa. Dengan jadual yang dicadangkan ini, PLUS berharap semua pengguna dapat mengikutinya dan menjadikan perlajanan mereka lebih lancar dan tenang, tanpa perlu berhadapan dengan kesesakan teruk.
“PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan bakal meningkat sebanyak enam (6) peratus, kepada sekitar 1.5 juta kenderaan sehari menjelang cuti perayaan Krismas, berbanding dengan hari biasa iaitu sebanyak 1.4 juta kenderaan,” jelas Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.
“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan di antara 22 Disember hingga 27 Disember ini supaya merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual TTA yang dikeluarkan. Berdasarkan kajian kami pada musim-musim perayaan yang lalu, perjalanan di lebuh raya adalah lebih lancar apabila lebih ramai yang mematuhi TTA,” tambah Zakaria.
Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS sempena perayaan Krismas, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi. Manakala, orang ramai yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.
Jadi, kalau anda ada perancangan untuk bergerak ke mana-mana destinasi hujung minggu ini, elok rujuk jadual di atas dan rencanakan perjalanan anda sebaiknya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.