Honda Malaysia telah mengeluarkan satu pengumuman panggil balik bagi model Odyssey tahun 2014-2017, dan Accord tahun 2013-2016 untuk penukaran pengesan (sensor) bateri dan komponen cermin pintu. Sementara itu, Honda Malaysia memberi jaminan model yang sedia dijual sekarang tidak terlibat.
Bagi masalah pengesan bateri, panggilan balik ini dikeluarkan kerana boleh terjadi pembentukan yang tidak tepat dalam papan litar PCB yang terletak di bahagian dalam pengesan bateri tersebut. Keadaan ini juga boleh menyebabkan litar pintas dalam pengesan tersebut, dan kemungkinan asap keluar dari bahagian tersebut atau lebih teruk lagi, kebakaran. Panggilan balik untuk pengesan bateri ini cuma untuk Accord (tahun 2013-2016) yang kesemuanya ada 20,233 unit.
Masalah kedua dalam panggilan balik terbaru Honda Malaysia ini adalah komponen cermin pintu, di mana komponen yang bergerak di dalamnya boleh gagal berfungsi dan boleh menyebabkan cermin itu tertanggal, sama ada waktu bergerak ataupun tidak. Untuk masalah ini pula, ia melibatkan Accord 2013-2016 (27,912 unit) dan Odyssey tahun 2014-2017 (971 unit).
Semua pelanggan yang terlibat dalam panggilan balik ini disarankan untuk membuat temu janji dengan salah satu daripada 91 pengedar rasmi Honda di Malaysia, untuk menukar alat ganti yang terlibat, dan sebarang kos yang berkaitan akan ditanggung. Honda Malaysia juga memberi jaminan alat ganti yang diperlukan adalah mencukupi.
Semua pemilik kenderaan yang terlibat dengan panggilan balik ini akan dimaklumkan dengan surat pemberitahuan, dan selepas itu mereka boleh membawa kenderaan ke pusat pengedar untuk pemeriksaan dan penukaran. Pemilik juga boleh memeriksa status kenderaan mereka di www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my. Jika mahu, mereka juga boleh membuat panggilan ke 1-800-88-2020.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.