Audi Malaysia baru sahaja melancarkan model TT 2.0 TFSI Black Edition, dan ia ada dipamerkan di pusat pameran Audi di Glenmarie, Selangor. Model ini ditawarkan dalam unit yang terhad, pada harga RM317,400 (tidak termasuk insurans) bersama jaminan five tahun atau perbatuan tanpa had. Tiga pilihan warna yang disediakan adalah Vegas Yellow (seperti dalam gambar), Mythos Black dan Tango Red.
Jika dibandingkan dengan TT 2.0 TFSi biasa, model Black Edition mempunyai harga lebih tinggi RM30,500, dan pemilik akan mendapat tambahan rim aluminium Audi Sport 19 inci berwarna hitam, dan dibalut dengan tayar 245/35. Turut ditambah adalah kemasan hitam pada gril dan bampar, serta kamera undur.
TT 2.0 TFSI Black Edition ini juga datang dengan pakej S Line (bampar lebih tajam, side sill lebih sporty, diffuser belakang serta roda stereng dan tombol gear S Line), lampu utama Matrix LED serta sistem bunyi Bang & Olufsen 14-channel 680 watt dan 12 pembesar suara. Semua kelengkapan ini memerlukan bayaran tambahan untuk didapati pada TT biasa.
Selain daripada barangan yang disebutkan tadi, bahagian lain model Black Edition ini masih sama seperti TT 2.0 TFSI biasa. Jadi, ia turut dilengkapi dengan sistem hiburan dan informasi MMI Radio dan MMI Touch, kokpit virtual Audi, balutan kulit/Alcantara, pengawal suhu dua-zon dan kemasan dalam dua tona warna, berserta jahitan yang kontras.
Kuasa untuk kenderaan ini datang daripada enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menjana 230 hp dan 370 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan S Tronic klac berkembar dan kuasa disampaikan kepada tayar hadapan. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j, manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 5.9 saat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.