Satu panggilan balik dikeluarkan oleh NHTSA di Amerika Syarikat, untuk silinder brek utama hadapan Brembo, yang turut digunakan pada motosikal Aprilia dan Ducati tertentu. Panggilan balik ini dilakukan kerana dikhuatiri piston silinder utama brek hadapan ini, yang diperbuat daripada plastik berkemungkinan retak.
Setakat ini, model yang terlibat dalam panggilan balik ini adalah Aprilia RSV4 dan Aprilia Tuono 1100 2017, sementara Ducati juga telah mengeluarkan panggilan balik berkenaan perkara sama untuk model tahun antara 2015 hingga 2018 bagi 1299 Panigale, Panigale R, Monser 1200, Multistrada 1200, Multistrada 1260, XDiavel S dan Scrambler 800 Cafe Racer.
Secara khususnya, silinder brek Brembo yang dipanggil balik adalah model PR16, yang biasanya digunakan bersama angkup Brembo M50. Masalah timbul apabila silinder utama brek ini, yang diperbuat daripada plastik polyphenylene sulphide boleh retak apabila digunakan secara ekstrem seperti dalam perlumbaan ataupun bila sistem ABS terlalu kerap diaktifkan.
Baik pulih yang akan dilakukan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menggantikan piston silinder utama brek ini kepada unit aluminium. Penukaran akan dilakukan di wakil pengedar jenama yang terlibat, tanpa sebarang kos kepada pemilik bermula 15 Februari.
Silinder brek Brembo PR16 ini sebenarnya oleh banyak motosikal, termasuk dari jenama KTM, Kawasaki, Triumph dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun, setakat ini, panggilan balik hanya dilakukan oleh Ducati dan Aprilia. Pemilik dua jenama ini di Malaysia boleh menghubungi pengedar rasmi untuk mengetahui sama ada motosikal mereka terlibat, manakala mereka yang membelinya sebagai aksesori tambahan boleh menghubungi Brembo secara terus.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.