Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

Sebelum bermulanya tahun kelima Dasar Automotif Negara (NAP) yang pertama kali dibentangkan pada 2014, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Dato’ Sri Mustapa Mohamed hari ini telah membentangkan laporan prestasi industri automotif Malaysia untuk tahun 2017 bertempat di Menara MITI, Kuala Lumpur.

Menurutnya, secara keseluruhan industri auto di Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dengan pertumbuhan dicatatkan pada hampir setiap cabang sepanjang 2017, hasil dorongan dari dasar yang diumumkan oleh kerajaan empat tahun lalu.

Untuk tahun 2017, industri automotif negara dipacu oleh 27 pengeluar kenderaan yang telah bertapak di Malaysia, dibantu dengan 641 vendor yang menghasilkan dan membekalkan komponen dan alat ganti, serta 53,011 buah syarikat yang terlibat dalam perniagaan servis selepas jualan. Menerusi kesemua operasi tersebut, keseluruhan tenaga kerja yang terlibat dalam industri ini dicatatkan seramai 736,632 orang.

Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

Apa yang menarik, tahun 2017 juga menunjukkan percambahan yang positif untuk kenderaan-kenderaan yang diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), selari dengan dasar yang diumumkan pada tahun 2014. Menurut statistik, 2017 merekodkan sebanyak 52% dari jumlah model kenderaan baharu yang dijual dalam pasaran adalah model-model yang menerima pengiktirafan EEV atau dua peratus lebih tinggi dari sasaran asal – menunjukkan peningkatan sebanyak 9.2% berbanding 2016 (42.8%).

Tahun 2017 juga mencatatkan sejumlah 308,807 unit kenderaan yang telah dipasang secara CKD menerima pengiktirafan EEV berbanding sasaran asal 260,000 unit. Jumlah berkenaan juga dilihat lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya di mana hanya 247,912 unit kenderaan CKD dihasilkan sepanjang 2016.

“Pertumbuhan berterusan ini merupakan isyarat bahawa industri automotif Malaysia kini semakin mengambil berat berkenaan EEV. Penerimaan dan kesedaran terhadap keberkesanan guna tenaga bukan hanya pada satu kementerian, tetapi isyarat sokongan dan penglibatan oleh semua institusi kerajaan, pengeluar komponen OEM dan vendor automotif, serta dari masyarakat secara umum”, kata Mustapa.

Eksport untuk alat ganti dan komponen juga dijangka meningkat pada tahun 2017. Sehingga Oktober tahun lalu, nilai eksport keseluruhan untuk sektor ini direkodkan sejumlah RM9.3 bilion dan Institut Automotif Malaysia (MAI) menjangkakan ia akan melangkaui angka RM12 bilion untuk keseluruhan tahun 2017. Untuk rekod, eksport untuk alat ganti dan komponen oleh industri automotif Malaysia pada tahun 2016 dicatatkan pada RM11.2 bilion.

Eksport untuk komponen alat ganti yang dikilangkan semula (recond) pula dinilai pada RM516.4 juta pada November 2017, dan ia jelas lebih tinggi dari keseluruhan 2016 yang mencatatkan RM510 juta. Walau bagaimanapun, Mustapa agak “kecewa” dengan prestasi yang ditunjukkan oleh jumlah yang dicatatkan oleh eksport kenderaan-kenderaan CBU kerana ia dilihat menurun pada 2017.

Pada 2016, jumlah eksport kenderaan CBU direkodkan berjumlah 33,438 unit dengan nilai RM1.05 bilion, tetapi sehingga Nov 2017, ia hanya mencatatkan 18,887 unit dengan nilai RM944.2 juta. Oleh itu, Mustapa menjelaskan kementeriannya hanya akan fokus kepada eksport komponen alat ganti untuk tempoh-tempoh mendatang.

Dengan pertumbuhan yang ditunjukkan dalam industri, ia secara tidak langsung turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Berbanding 25,850 peluang pekerjaan yang wujud dalam sektor automotif di Malaysia pada tahun 2016, tahun berikutnya menunjukkan peningkatan kepada 27,175. Tahun 2017 juga menyaksikan seramai 23,444 tenaga kerja asing dalam industri automotif Malaysia telah digantikan dengan warga tempatan.

“Perkembanagan dalam industri automotif telah mewujudkan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia. Pelbagai program yang diiktiraf telah diwujudkan oleh MAI sejak 2014, bukan sahaja untuk menyerapkan tenaga mahir lebih cepat ke dalam industri, tetapi dalam masa yang sama untuk menyelesaikan masalah tenaga kerja asing di kalangan pemain industri,” jelas menteri tersebut.

MAI juga telah menjalankan pelbagai program pembangunan vendor yang secara tidak langsung meningkatkan lagi jumlah perniagaan dalam industri automotif Malaysia pada tahun 2017. Sehingga kini, program-program berkenaan telah melahirkan 522 vendor dengan kebolehan sekurang-kurangnya berada pada tahap 3, dan 27 daripadanya telah pun mencapai tahap 5 iaitu lengkap dengan kebolehan dalam proses R&D.

Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

Dato’ Sri Mustapa Mohamed turut menjelaskan bahawa saiz industri automotif di tempatan yang kini menyumbang 4% dari GDP Malaysia memerlukan pemantauan yang holistik, kerana ia mempunyai nilai pekerjaan dan juga perniagaan yang tinggi bagi mewujudkan impak yang besar terhadap rakyat Malaysia, yang selalunya tidak diketengahkan berbanding perkara-perkara lain seperti jumlah jualan dan produksi.

Selain dari laporan untuk prestasi 2017, pembentangan hari ini juga merupakan laporan terakhir untuk NAP 2014, dimana Dasar Automotif Negara yang baharu kini dalam peringkat akhir untuk dilengkapkan, sebelum diumumkan pada pertengahan tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required