Melalui model Chiron, Bugatti sudah menggunakan brek paling berkuasa di dunia dan angkup yang paling besar untuk kenderaan produksi dengan unit aloi aluminium kekuatan tinggi, lapan piston titanium di depan dan enam piston di belakang. Kini, syarikat itu menunjukkan pula buat pertama kalinya angkup cetakan 3D titanium.

Aloi titanium yang digunakan untuk angkup ini kebanyakannya diguna untuk industri aero angkasa dan menawarkan prestasi lebih tinggi berbanding aluminium. Ukurannya adalah 41 sm panjang, 21 sm lebar dan 13.6 sm tinggi, mencatat berat keseluruhan cuma 2.9 kg satu unit (jika menggunakan aluminium, beratnya adalah 4.9 kg).

Sebelumnya, bahan ini tidak digunakan kerana terlalu susah atau hampir mustahil untuk membentuknya kerana blok titanium adalah sangat kuat. Walaupun begitu, Bugatti berjaya melakukannya melalui penggunaan mesin cetak 3D, sekaligus menjadikan ia sebagai angkup brek pertama di dunia yang dikeluarkan menggunakan cetakan 3D dan komponen berfungsi terbesar di dunia daripada titanium dan dicetak secara 3D.

“Dalam usaha untuk melakukan pembangunan secara berterusan, kami sentiasa mengambil kira bagaimana bahan serta proses baru dapat digunakan untuk menjadikan model kenderaan kami lebih bagus dan bagaimana kenderaan masa hadapan boleh direka,” kata ketua teknologi baru dalam jabatan pembangunan teknikal Bugatti Automobiles S.A.S, Frank Götzke.

Percubaan pertama untuk menggunakan angkup brek titanium ini pada kenderaan produksi dijangka berlaku pada separuh tahun pertama ini, namun tarikh sebenarnya masih belum ditetapkan. Pada tahap itu, jurutera yang terlibat berjanjin masa pengeluarannya akan dapat dilakukan lebih cepat, berbanding sekarang.