Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Plus Malaysia Berhad (Plus) telah membuka stesen penguatkuasaan JPJ yang pertama di lebuhraya PLUS bagi keselamatan para pengguna, yang beroperasi di Lebuhraya ELITE iaitu di R&R Dengkil arah Selatan. Majlis perasmiannya telah berlangsung pagi ini dengan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Dato’ Sri Shaharuddin Khalid dan Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail.

Menurut Shaharuddin, pembukaan stesen JPJ ini akan menjadi pusar aktiviti penguatkuasaan di lebuhraya bagi Zon Tengah. “Kita juga sedang merancang untuk membuka dua lagi stesen yang sama di Zon Utara dan Zon Selatan dalam masa terdekat ini, hasil kerjasama di antara JPJ dan PLUS,” ujarnya kepada pemberita sewaktu majlis perasmian tersebut.

JPJ yang telah bekerjasama dengan PLUS sejak tahun 2016, turut mempunyai 15 pusat Enforcement Based Station (EBS) di sepanjang lebuhraya utara-selatan. EBS merupakan pit stop kepada JPJ sepanjang Ops Bersepadu yang dijalankan sepanjang musim perayaan di negara ini.

Katanya lagi, “Kita percaya hasil kerjasama ini, JPJ akan membantu pihak lain terutamanya PLUS dalam memberikan pertolongan dan bantuan awal sekiranya terdapat kemalangan di lebuhraya. Berdasarkan statistik PLUS pada tahun 2017, mencatatkan kemalangan yang berlaku di sepanjang lebuhraya akibat pelanggaran objek adalah sebanyak 566 kes. Manakala 2,252 aduan telah diterima berkaitan objek yang berada di lebuhraya seperti serpihan tayar kenderaan yang pecah, muatan jatuh daripada kenderaan dan sebagainya.”

Selain itu, JPJ juga telah memasang 17 kamera AWAS di lebuhraya, dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 23 kamera di lain-lain lokasi. Kamera yang diletakkan di kawasan kerap kemalangan ini dilaksanakan dengan pemasangan tiga papan tanda amaran sejauh dua hingga tiga kilometer sebelum operasi kamera terbabit.

“Sekiranya masih ada pemandu yang berdegil dan tidak mengendahkan amaran tersebut dengan memandu melebihi had laju, kamera tersebut akan merekodkan imej bagi tujuan pengeluaran notis saman. Kita bukan hendak sesuka hati menyaman pemandu, sebaliknya kamera ini adalah salah satu usaha serampang dua mata dalam mendidik masyarakat untuk mematuhi had laju kenderaan,” ujar Shaharuddin lagi.

“PLUS sentiasa mencari pelbagai pendekatan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di semua lebuhraya kendalian kami. Justeru, selain daripada memberi fokus terhadap aspek kejuruteraan lebuhraya dan pendidikan menerusi program advokasi keselamatan jalan raya, kami turut melihat kepada aspek penguatkuasaan undang-undang dengan kerjasama JPJ dan agensi lain,” kata Azman Ismail pula.

Sambungnya lagi, “Langkah mewujudkan sebuah Stesen JPJ di lokasi yang strategik di R&R Dengkil Arah Selatan adalah komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan lebuhraya yang selamat untuk pengguna kami. Malah stesen ini memudahkan anggota JPJ untuk membuat pemantauan, penguatkuasaan dan advokasi keselamatam kepada pengguna lebuhraya.”

Di Stesen JPJ ini, para pengguna juga boleh membuat urusan rasmi berkaitan dengan JPJ termasuk memperbaharui lesen memandu, menyemak dan membayar saman serta beberapa perkara yang berkaitan.