Sebuah kereta Uber tanpa pemandu telah melanggar mati seorang wanita yang sedang menyeberang jalan di Arizona, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin lalu. Dalam insiden tersebut, Elaine Herzberg, 49, telah dilanggar ketika cuba melintas jalan di pinggir bandar Pheonix. Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Menurut laporan Reuters, ini merupakan kes kematian pertama yang melibatkan kenderaan tanpa pemandu, sekali gus memberi tamparan hebat kepada teknologi yang dijangka membawa transformasi kepada dunia pengangkutan itu. Ekoran kejadian tersebut, Uber kini menggantung semua ujian kenderaan pandu sendiri yang mereka lancarkan di Amerika Utara.

Uber bekerjasama dengan Alphabet Inc dan General Motors Co. bagi menjalankan perkhidmatan kereta tanpa pemandu yang dijangka dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya secara drastik dan dalam masa yang sama mampu menjana perniagaan dengan keuntungan berbilion dolar.

Bagaimana pun, kes kemalangan tersebut membutktikan masih ada halangan tertentu dalam penyediaan teknologi terbabit terutamanya yang melibatkan situasi sebenar manusia, sekaligus menunjukkan ia masih belum bersedia untuk dilancarkan.

Kemalangan berkenaan juga mencetus reaksi pantas para penggubal undang-undang yang sebelum ini terus berdebat sama ada mahu meluluskan undang-undang yang mempercepatkan penggunaan kenderaan tanpa pemandu itu di AS.

“Kemalangan tragik ini adalah amaran untuk kita supaya perlu berhati-hati apabila menjalankan ujian dan melancarkan teknologi kenderaan pandu sendiri di jalan raya,” ujar Senator Demokrat Edward Markey dari Massachusetts.