Syarikat dari Taipei, Xing Mobility telah menunjukkan kereta supercar elektrik terbaru mereka, Miss R melalui satu video ia diuji atas jalan biasa dan jalan offroad. Kereta yang menggunakan elektrik sepenuhnya, dengan kuasa boleh mencecah 1,341 hp ini sedang diuji untuk pembangunan selanjutnya.
Menurut syarikat itu, Miss R mempunyai inspirasi daripada kenderaan rali, dan penilaian yang sedang dilakukan bertumpu kepada prestasinya di atas jalan offroad, seterusnya memberikan maklum balas berharga untuk bahagian ketahanan, pengendalian, tetapan suspensi, penyampaian kuasa dalam mod offroad serta bentuk tayar dan fender.
Miss R dikuasakan oleh empat motor elektrik 350 volt, yang mendapat tenaga daripada pek bateri 98 modul, 4,116 sel, dan boleh menghasilkan sehingga satu Megawatt kuasa, bersamaan 1,341 hp. Catatan prestasi lain adalah pecutan 0-100 km/j dalam masa 1.8 saat dan 0-200 km/j dalam masa 5.1 saat. Laju maksimum pula lebih daripada 270 km/j.
Sistem bateri yang dibangunkan oleh Xing mempunyai teknologi penyejukan rendaman, di mana baterinya yang bertingkat diletakkan dalam satu perumah tertutup yang mempunyai cecair Novec 7200 3M. Ini juga pertama kali cecair tersebut digunakan untuk penyejukan bateri modular pada kenderaan elektrik.
Xing juga memberitahu sistem bateri mereka pada masa ini adalah antara pek bateri EV yang mempunyai ketumpatan kuasa paling tinggi dalam pasaran, menawarkan sehingga 50% penjimatan berat, berbanding bateri standard lain dalam industri. Ia juga menampilkan ciri penukaran pantas, yang boleh ditukar dalam masa lima minit sahaja.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.