Jaguar Land Rover (JLR) membuat keputusan untuk mengurangkan tenaga kerja di West Midlands, United Kingdom, akibat ketidakpastian Brexit dan jualan kenderaan diesel yang dilaporkan menyusut.

Pengeluar kenderaan terbesar Britain itu akan memberhentikan 1,000 pekerja kontrak sementara di kilang di Solihull, yang mengeluarkan Range Rovers dan Land Rover Discovery. Kilang terbabit mempunyai 10,000 pekerja, termasuk 2,000 kakitangan kontrak.

Secara keseluruhannya, syarikat ini yang memiliki 40,000 pekerja di seluruh UK, akan memindahkan sejumlah kakitangannya dari kilang berhampiran Castle Bromwich untuk mengisi kekosongan jawatan di Solihull.

Menurut laporan Reuters, pengurangan tersebut difahamkan ejoran penyusutan jualan JLR sebanyak 26% di UK bagi tiga bulan pertama 2018. Manakala jualan di Jerman, pasaran kenderaan terbesar di Eropah pula juga menyusut sebanyak 32% dalam tempoh waktu yang sama.

JLR merekodkan jualan sebanyak 612,109 unit kenderaan di seluruh dunia pada tahun 2017, meningkat sebanyak 6.5% berbanding tahun sebelumnya. Walau bagaimana pun, jualan di UK menyusut sebanyak 15.8% disebabkan kekurangan keyakinan para pengguna.

Syarikat berkenaan juga berkata penangguhan pengguna dalam soal pembelian kenderaan baharu disebabkan kurang yakin dengan polisi kerajaan terhadap kenderaan diesel. Malahan kekurangan keyakinan tersebut juga berpunca daripada ketidakpastian terhadap Brexit.

Dalam kenyataannya, JLR menggambarkan Brexit dan cukai diesel sebagai “perkara yang menyakitkan kepala”. Katanya, “Perkara ini memberikan kesan mendalam terhadap industri automotif, membuatkan kami terpaksa melakukan beberapa penyusunan semula terhadap jadual produksi kami termasuk tenaga kerja. Walau bagaimana pun, kami akan terus merekrut sebilangan besar jurutera, siswazah dan perantis yang sangat mahir kerana kami melabur secara besar-besaran dalam produk dan teknologi baharu.”