Kereta konsep Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury hanya direncana untuk pengenalan awam semasa Beijing Motor Show nanti, tetapi gambarnya sudah tersebar di internet. Seperti yang diketahui sebelum ini, kenderaan tersebut sememangnya menggunakan bentuk sebuah SUV, tetapi tidak kelihatan seperti GLS generasi seterusnya.
Walaubagaimanapun, ia tetap sesuatu yang menyerlah, dengan gril hadapan yang jelas mendapat inspirasi daripada satu lagi kenderaan konsep, Vision Mercedes-Maybach 6. Persamaan lain antara dua kenderaan ini adalah pada lampu utama, hiasan di tepi fender, lencana pada C-pillar dan bukaan yang terpisah di bahagian bawah bampar.
Bahagian belakang menunjukkan lebih keunikan pada kenderaan ini, di mana ia menggunakan penutup but seperti sebuah kereta sedan, dan bukannya yang terangkat ke atas seperti kebiasaan sebuah SUV. Ada juga beberapa bahagian yang mendapat inspirasi daripada Vision Mercedes-Maybach 6 di belakang seperti lampu, cermin terbahagi dua dan lencana.
Masuk ke bahagian dalam, anda akan disambut permukaan yang kebanyakannya dibalut dengan kulit, serta beberapa bahagian yang menggunakan kemasan krom serta trim emas. Perincian ini, bersama set minuman teh binaan dalaman pada kenderaan ini juga menunjukkan ia mungkin dicipta untuk memuaskan pasaran China. Selain itu, terdapat juga lampu suasana biru dan kemasan premium lain.
Melihat kepada papan pemuka kenderaan ini, ia mempunyai corong pendingin hawa yang direka menyamai gril hadapan, dan di tengahnya terdapat skrin infotainmen seperti kenderaan Mercedes-Benz. Begitu juga keadaannya dengan pad sesentuh kawalan serta sterengnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.