Geely Borui GE hybrid didedahkan di Beijing – dua varian PHEV dan MHEV, enjin turbo 1.5 liter 3-silinder

Geely Borui GE hybrid didedahkan di Beijing – dua varian PHEV dan MHEV, enjin turbo 1.5 liter 3-silinder

Selain dari model konsep Icon, Geely turut mendedahkan sedan segmen-D Borui dengan unit janakuasa tenaga baharu di Beijing International Auto Show 2018. Borui yang juga model sedan flagship jenama dari China berkenaan sebelum ini telah pun diperkenalkan dalam janaan enjin petrol konvensional, manakala versi baharu ini merupakan model yang digerakkan dengan unit janakuasa hibrid.

Dua varian didedahkan untuk versi baharu ini iaitu plug-in hybrid PHEV dan juga MHEV dimana M bermaksud mild (ringkas). Unit janakuasa PHEV tersebut menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Menurut Geely, unit janakuasa berkenaan mampu memberikan bacaan penggunaan petrol serendah 1.6 liter untuk jarak sejauh 100 km, dan ia telah melangkaui pelbagai jenama antarabangsa dalam aspek penggunaan bahan api dan prestasi.

Geely belum mengumumkan angka kuasa atau prestasi sebenar unit janakuasa ini, namun konfigurasinya macam pernah dengarkan? Ya, ia adalah unit janakuasa yang sama untuk Volvo T5 Twin Engine, dimana untuk versi Volvo ia menghasilkan 250 PS/400 Nm. Kotak gear yang dipadankan pula merupakan transmisi DCT baharu yang dibangunkan Volvo dan bukan transmisi Getrag/Ford Powershift yang digunakan sebelum ini.

Untuk model hibrid MHEV pula, ia masih dijana enjin 1.5 liter turbo yang sama, tetapi hanya digabungkan dengan sistem hibrid ringkas 48V yang terdiri dari penghidup generator bateri (BSG). Ia memberikan bacaan pengunaan bahan api 5.8 liter untuk 100 km, atau 15% lebih rendah sekiranya enjin petrol tersebut beroperasi sendirian.

Borui dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2015, dan kereta ini merupakan air tangan bekas pereka Volvo (yang kini naib presiden rekaan senior Geely) iaitu Peter Horbury. Model janaan enjin petrol konvensional sedia ada pada Borui termasuk dari versi 1.8 liter turbo, 2.4 liter empat silinder NA, dan juga 3.5 liter V6 NA. Pengenalan model lebih mesra alam ini merupakan sebahagian dari misi hijau Geely yang disasarkan untuk menjadi peneraju kenderaan dengan sumber kuasa baharu di China.

“China akan menjadi pusat revolusi tenaga baharu terunggul di dunia yang akan mencipta semula kereta seperti yang kita tahu, seterusnya membuatkan industri automotif lebih kuat dan lebih berdaya tahan. Sebagai jenama peneraju automotif China, kami sedar bahawa persaingan dalam era baharu ini akan datang dalam bentuk perang teknologi dan sebab itu kami perlu mendahului menerusi inovasi teknologi bagi menjadi pelopor dalam era baharu ini,” kata An CongHui, presiden dan CEO Geely Auto ketika pendedahan Borui GE ini di Beijing.

“Geely sedar dalam 12 tahun kebelakangan ini serentak dengan permulaan kami menyerang sektor tenaga baharu dengan melabur banyak untuk penyelidikan dan pembangunan, bersepadu dengan sumber global kami, dan juga pemerkasaan kolobrasi strategik yang kami ada dengan Volvo. Kami telah menggaji sekitar 2,500 pemikir bijak dari seluruh dunia dalam kejuruteraan tenaga baharu untuk menumpukan terhadap pembangunan teknologi hibrid, elektrik sepenuhnya, sel bahan api dan juga bahan api alternatif,” tambahnya.

Dalam Inisiatif Blue Geely yang diumumkan pda 2015, jenama tersebut mensasarkan untuk memproduksi kenderaan sumber tenaga baharu secara besar-besaran menjelang tahun 2020, dengan sasaran 90% kadar jualan untuk kenderaan dengan teknologi elektrik. Dalam rancangan induk tersebut, 35% kereta hijau adalah kenderaan elektrik sepenuhnya, dan selebihnya adalah model hibrid dan PHEV.

Geely Borui GE hybrid didedahkan di Beijing – dua varian PHEV dan MHEV, enjin turbo 1.5 liter 3-silinder

“Kesemua kereta ini mewakili permulaan untuk kemasukan Geely dalam era di mana kendraan tenaga baharu yang akan mendominasi jalan-jalan kami. Untuk tahun ini sahaja, kami akan melancarkan pelbagai model-model tenaga baharu dan tidak lama lagi, kesemua platform dan siri produk kami akan sepenuhya menerima teknologi elektrik,” kata An berkenaan dua versi Borui yang didedahkan kali ini.

Untuk bahagian luaran, kedua-dua versi baharu Borui berkenaan menyerlahkan rekaan signatur gril “expanding cosmos” Geely yang melambangkan jenama tersebut sedang berkembang di alam semesta. Ia juga diberikan lampu hadapan dan belakang bersama grafik 3D yang diinspirasikan dari putaran riben gimnas tradisi China.

Pada bahagian dalaman pula, Borui hibrid diberikan papan pemuka Full Vision versi produksi yang diprebiu buat pertama kali untuk model Emgrand Concept pada tahun 2015. Sedan flagship ini juga menerima ekosistem pintar GKUI dan juga Energy Hub yang menawarkan pengecas tanpa wayar untuk peranti-peranti mudah alih. Kedua-dua Borui GE PHEV dan MHEV tersebut akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran China padaa 28 Mei ini.

GALERI: Geely Bo Rui GE PHEV

GALERI: Geely Bo Rui GE MHEV

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required