Pengeluar kenderaan utama di Jepun, Toyota, Nissan dan Honda telah berganding bahu bersama dengan pemerintah negara itu serta pengeluar-pengeluar bateri di sana di dalam satu program khas untuk membangunkan teknologi bateri solid state untuk kegunaan kenderaan elektrik di masa hadapan.

Program berkenaan bertujuan untuk meletakkan semula Jepun sebagai pelopor teknologi bateri kenderaan, memandangkan banyak negara dan pihak lain kini berada lebih ke hadapan dari aspek pembangunan teknologi berkenaan.

Bermula bulan ini, program berkenaan turut mempertemukan Konsortium Bateri Lithium Ion dan Pusat Penilaian (Libtec) – sebuah badan penyelidikan dengan ahli-ahli terdiri daripada Asahi Kasei, Toray Industries dan Kuraray – dengan pemain-pemain industri automotif dan pembuat bateri seperti Panasonic dan GS Yuasa. Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Indsutri Jepun pula akan menyalurkan 1.6 bilion yen dana kepada Libtec, seperti dilaporkan Nikkei Asian Review.

Bateri solid state menggunakan cecair elektrolit (seperti yang terdapat pada bateri lithium ion) dalam bentuk yang pejal, menjadikannya lebih mudah untuk dikilangkan serta selamat, kerana tiada kemungkinan untuk bocor. Berbanding dengan bateri lihtium ion ketika ini, bateri generasi seterusnya nanti akan memiliki kurang komponen, kos lebih rendah serta membekalkan lebih banyak tenaga.

Matlamat utama program ini termasuk untuk meningkatkan prestasi bateri dengan penggunaan elektrolit pejal. Libtec berharap untuk membangunkan bateri yang dapat menggandakan jarak perjalanan kenderaan EV sehingga 800 km menjelang tahun 2030 daripada jarak 400 km yang boleh dicapai sekarang. Sasaran pertengahannya ialah mencapai jarak 550 km menjelang 2025 nanti.