Bermula tahun 2019, semua pelumba pasukan F1 wajib menggunakan helmet yang mematuhi standard baru, dan contohnya telah ditunjukkan oleh Fédération Internationale de l’Automobile (FIA) sewaktu perjumpaan Pasay City, Filipina. Kemudiannya, ia akan diwajibkan pula dalam perlumbaan lain.

Walaupun contoh yang ditunjukkan ini adalah daripada Bell, sebenarnya standard tersebut telah didapati oleh FIA hasil penyelidikan bersama beberapa pengeluar lain seperti Stilo, Schuberth dan Arai selama beberapa tahun. Kini, semua pengeluar tersebut boleh menghasilkan helmet sendiri yang akan digunakan, dan ia mestilah mematuhi standard baru tersebut yang dipanggil sebagai FIA 8860-2018.

Secara fizikal, perubahan yang dilakukan antaranya adalah visor yang direndahkan 10 mm bagi memberikan lebih perlindungan balistik, tambahan bahagian perlindungan di tepi supaya bersesuaian dengan kereta lumba yang digunakan sekarang serta penggunaan bahan komposit maju yang bukan sahaja kuat, tetapi juga tahan remuk dan penembusan.

Kemudiannya, semua helmet yang mahu melepasi tahap baru ini juga perlu menjalani ujian ketahanan. Untuk ujian impak, ujian dilakukan hingga impak 9.5 m/s dan tahap nyahpecut (deceleration) kepala pemandu tidak boleh melebihi 275 G; untuk perlindungan balistik, objek besi 225 g ditembak pada kelajuan 250 km/j dan nyahpecut tidak boleh melebihi 275 G; manakala untuk ujian remuk, objek 10 kg dijatuhkan dari tinggi 5.1 m dan penyebaran tenaga tidak boleh melebihi 10 kN.

Ujian lain yang dilakukan adalah: pemampat 4 kg dijatuhkan atas helmet pada kelajuan 7.7 m/s, palet 1.2 g ditembak ke visor dan ia tidak boleh tembus, ujian bagi tali pengikat helmet, dan didedahkan kepada penyala api 790 celsius. Apabila penyala itu ditarik, api mesti boleh padam sendiri.