Ini dia pengganti bagi model paling tinggi dalam barisan kenderaan Aston Martin; sebelum ini Vanquish menjadi taruhan, tetapi kini model baru DBS Superleggera akan mengambil alih peranan itu. Melalui model ini, Aston Martin menggabungkan dua nama yang cukup dikenali – DBS miliknya serta Superleggera dari Itali (yang bermaksud “super lightweight”).

DBS Superleggera ini terus menggunakan enjin V12 5.2 liter turbocas berkembar, tetapi dengan output kuasa pada tahap 715 hp pada 6,500 rpm dan 900 Nm tork antara 1,800 rpm hingga 5,000 rpm. Ini merupakan pertambahan sebanyak 85 hp dan 200 Nm tork berbanding model DB11 AMR.

Menyalurkan kuasa itu ke roda belakang ialah transmisi ZF lapan-kelajuan. Lain-lain angka prestasi yang akan membuatkan keterujaan ialah pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.4 saat, sementara pecutan maksimum mencapai tahap 340 km/j.

Kerangkanya menggunakan struktur aluminium ringan yang diperkemas dari DB11, dengan sistem suspensi double wishbone di depan serta jenis multilink di belakang. Ciri penyerap hentak adaptif, limited-slip differential mekanikal dan torque vectoring dengan cara membrek menyumbang kepada kemantapan pengendaliannya. Ia menggunakan brek karbon seramik dan tayar Pirelli khusus pada rim 21-inci yang digunakan.

Bahagian luaran kereta menggunakan gentian karbon sepenuhnya. Rekaan yang ditampilkan juga sarat dengan imej sporty yang garang; gril besar, lampu utama LED yang lebih tirus serta alur dan ruang udara pada bonet depan membentuk imejnya yang tersendiri.

Liang udara pada bahagian splitter depan berfungsi untuk mengalirkan udara ke bawah kenderaan dan menyejukkan brek. Begitu juga bahagian masukan udara pada bahagian lengkok tayar (wheel arch), ia bertujuan untuk memberikan kestabilan ketika dalam kelajuan tinggi. Rekaan aeroblade dan diffuser berkembar gaya F1 yang terletak di belakang juga menyumbang kepada daya downforce yang lebih baik.

Ruang dalaman juga menampilkan rekaan dan kemasan yang padu. Material kulit Alcantara digunakan pada tempat duduk. Diikuti juga oleh stereng Sport Plus dengan bahagian atas dan bawah yang rata. Tidak ketinggalan ialah sistem infotainmen yang datang dari Mercedes-Benz yang boleh dikawal melalui tombol serta skrin di tengah. Ciri seperti keyless entry, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera 360-darjah dan Park Assit juga di datangkan sebagai standard. Harganya? Sekitar £225,000 (RM1.2 juta).