Kedudukan Honda yang mendakwa mereka mempunyai model dua roda produksi pertama di dunia yang menggunakan enjin hibrid, iaitu melalui model PCX Hybrid tidak bertahan lama apabila pesaing mereka, Yamaha memperkenalkan pula Grand Filano Hybrid. Model ini sudah pun dilancarkan di Thailand, dengan harga bermula 62,000 baht (RM7,500) dan boleh didapati dalam dua varian – satu yang dilengkapi ABS, dan satu lagi tiada.
Enjin petrol yang digunakan pada model ini adalah unit satu silinder 125 cc suntikan bahan api Blue Core, dan kemudiannya ia digabung bersama Smart Motor Generator yang dapat memberi kuasa elektrik tambahan dan menjimatkan bahan api dalam keadaan tertentu. Transmisi pula adalah unit CVT.
Untuk menambahkan lagi penjimatan bahan api, Grand Filano Hybrid ini juga didatangkan dengan ciri start/stop yang boleh mematikan enjin apabila berhenti dan hidup kembali apabila pendikit dipulas. Suis sistem ini ada di bahagian kanan dan pemilik boleh mematikannya jika tidak suka.
Sebagai sebuah skuter moden, Grand Filano Hybrid turut dipasang dengan kelengkapan canggih lain seperti sistem kunci pintar, lampu depan LED penuh, lampu belakang LED, soket pengecas USB berhampiran pemegang, peletak kaki penumpang yang boleh ditolak dengan mudah, ruang simpan 27 liter bawah tempat duduk dan panel meter TFT LCD berwarna.
Kemudiannya, skuter ini dipasang dengan rim 12 inci, bersama tayar jenis tanpa tiub bersaiz 110/70 di depan dan belakang. Pilihan warna juga agak luas, dengan ada dua untuk model ABS (biru gelap dan perak) manakala untuk model biasa ada lima pilihan warna yang menarik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.