Bagi pengguna Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK, Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) telah menyediakan aplikasi mudah alih baharu untuk anda. Aplikasi ini bagi membolehkan pengguna lebuhraya berkenaan menghantar isyarat kecemasan untuk meminta bantuan pasukan peronda.
Menurut CEO Kumpulan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, aplikasi itu juga boleh digunakan bagi menerima maklumat trafik dan perkhidmatan lain di kesemua lebuhraya terbabit.
Katanya, pengguna hanya perlu memilih jenis kecemasan pada aplikasi tersebut dan secara automatik lokasi mereka akan dapat dikesan oleh pasukan peronda menerusi GPS pada telefon pintar.
“Pelaksanaan aplikasi ini adalah kesinambungan bagi kempen komunikasi #contactlahkami yang dilancarkan pada Mac 2017. Aplikasi ini adalah bagi mewujudkan komunikasi dua hala dengan para pengguna lebuhraya terbabit,” ujarnya.
Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play secara percuma. Bagi 1,000 pelanggan pertama yang memuat turunnya, bakal menerima baucar bernilai RM10.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.