Proton kini sedang menaiktaraf dan memperbesarkan kilang pengeluarannya yang terletak di Tanjung Malim, Perak, seriring langkah pembaharuan pengeluar kereta nasional itu dengan rakan strategik asingnya, Zhejiang Geely Holding Group (Geely). Justeru, bagi tanda sokongan terhadap usaha Proton, kerajaan negeri Perak berbesar hati membantu syarikat itu bagi menyediakan tambahan tapak untuk menjayakan tujuan tersebut.
Laporan Bernama menyebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata memandangkan Proton kini sedang berkembang, ia memerlukan kawasan yang lebih, jadi kerajaan negeri akan memberi kerjasama terutama dalam penyediaan tapak.
“Kita juga akan bekerjasama melalui agensi dan jabatan kerajaan supaya proses meluluskan (tanah) dapat dipercepatkan bagi mengelak proses pengeluaran terganggu,” katanya selepas melawat kilang Proton semalam.
Mohammad Nizar berkata penyediaan tapak tersebut adalah usaha dan sokongan dari kerajaan negeri bagi memastikan perusahaan Proton terus berkembang dan bertahan selain meningkatkan peluang pekerjaan bagi masyarakat di kawasan Tanjung Malim.
“Untuk model pertama SUV Proton, ia akan mula dikeluarkan untuk pemasangan tempatan (CKD) awal tahun hadapan jadi kita mahu proses tersebut tidak terganggu. Kita juga berharap fasiliti di kilang Proton Shah Alam dipindahkan ke Tanjung Malim untuk memudahkan proses pemasangan dan dapat memberi manfaat masyarakat setempat terhadap industri otomobil di sini,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.