Memberi maklumbalas berhubung dengan pemansuhan kutipan tol, CEO Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, cadangan tersebut tidak boleh dimuktamadkan dalam masa 100 hari seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
KWSP memiliki 49% pegangan dalam pengendali lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd memiliki ekuiti selebihnya.
Menurut Shahril, kerajaan mempunyai keutamaan lain dari segi keperluan monetari yang perlu ditangani buat masa ini. Bukan itu sahaja, penghapusan tol membabitkan proses yang rumit dan pelbagai pihak, laporan Bernama.
“Kami sudah memberikan beberapa cadangan dan idea (kepada kerajaan), tetapi sebarang penyusunan semula tol adalah satu mainan campur tolak yang mana seseorang perlu membuat pembayaran tidak kira sama ada ia menyediakan atau tidak keseimbangan antara pengguna serta pemegang konsesi,” katanya kepada pemberita semalam.
Sambungnya lagi, penyusunan semula tol sangat rumit kerana kepentingan semua pihak perlu diambil kira.
“Saya fikir kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol dan pampasan kepada pemegang konsesi akan memindahkan beban kepada pembayar cukai dan saya rasa (berlaku adil) adalah keutamaan kerajaan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.